MELANJUTKAN pelajaran ke peringkat pengajian tinggi adalah satu proses manusia mendalami sesuatu bidang ilmu pengetahuan dengan mengikuti disiplin ilmu yang telah ditetapkan. Apabila kita belajar di universiti atau kolej sebagai contohnya, kita perlu mengikuti kuliah-kuliah yang disampaikan oleh pensyarah berkelayakan.
Selain itu, kandungan dan penyampaian kurikulum adalah mengikut garis panduan yang ditadbir oleh agensi atau badan profesional yang berkaitan seperti Agensi Kelayakan Malaysia atau lebih dikenali sebagai MQA.
Hasilnya, pengalaman pembelajaran yang ditawarkan kepada pelajar adalah berkualiti dan memenuhi piawaian untuk menyediakan lapisan profesional muda untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial secara lestari.
Oleh itu, tidak syak lagi bahawa mengikuti pengajian tinggi adalah suatu jalur mustahak untuk pembinaan ketamadunan unggul. Mereka yang memilih untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi mempunyai potensi untuk menjadi pelapis kepimpinan masa depan dalam mengemudi negara mendepani cabaran yang bakal muncul.
Pengajian tinggi akan tetap relevan dalam pembentukan masa hadapan seseorang. Memandangkan pada hari ini terdapat banyak pilihan kolej atau universiti yang boleh dipilih untuk melanjutkan pelajaran, maka lakukanlah pilihan yang bijak untuk mendapatkan segenggam ijazah untuk masa hadapan.
Walau bagaimanapun, melalui hasil dapatan dari Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan yang belia Malaysia hari ini nampaknya tidak meletakkan nilai yang sama terhadap pendidikan tinggi khususnya bagi mereka lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lebih gemar untuk terus bekerja.
Sekiranya trend ini berterusan untuk masa hadapan, Malaysia berkemungkinan akan menghadapi penurunan ketara dalam peratusan pekerja berpegetahuan dan berkemahiran tinggi. Negara juga akan kehilangan daya saing yang boleh menjejaskan prospek ekonomi jangka panjang berbanding negara-negara di Asia Tenggara.
Justeru, dalam konteks hari ini, belajar dan bekerja adalah hal yang boleh dilakukan serentak. Hal ini kerana terdapat pelbagai peluang untuk belajar sambil bekerja yang ditawarkan oleh pelbagai institusi dengan pilihan kursus dan kadar yuran yang pelbagai.
Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) merupakan salah satu Pusat Pengajian yang menawarkan program pembelajaran separuh masa.
Institusi ini membuka peluang yang luas kepada mereka yang telah mempunyai pekerjaan tetapi berhasrat membina pertumbuhan kerjaya dengan pantas melalui peningkatan ilmu melalui pengajian ke peringkat Ijazah.
Di samping itu, PPPJJ USM juga menerima kemasukan pelajar dalam kalangan lulusan Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL). APEL merupakan laluan alternatif kepada individu yang tidak mempunyai kelayakan akademik untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) USM merupakan program akademik yang fleksibel supaya ia sesuai diikuti bagi para pekerja untuk melanjutkan pengajian tanpa bebanan kewangan dan masa.
Justeru, pelajar diberikan sistem sokongan akademik yang komprehensif merangkumi bahan pembelajaran, kaunseling akademik dan sokongan teknologi.
Menurut salah seorang Alumni RPJJ iaitu Magdelina Depol yang menyatakan bahawa sistem pembelajaran RPJJ USM yang fleksibel telah membolehkan kami belajar tanpa perlu meninggalkan pekerjaan serta keluarga tercinta dan merealisasikan cita-cita dan impian kami untuk mendapat segulung ijazah.
"USM adalah sebuah institusi yang sangat dinamik dengan komitmen kakitangan dan bimbingan barisan pensyarah, USM telah menetapkan piawaian yang tinggi untuk diikuti oleh institusi Pembelajaran Jarak Jauh yang lain sekurang-kurangnya di rantau ini,” katanya.
Magdelina sekarang merupakan Penerbit Rancangan di Jabatan Penyiaran Malaysia, Sabah.
Permohonan kemasukan ke RPJJ bagi ambilan 2023/2024 dibuka sekarang sehingga 10 April 2023. Rebutlah peluang keemasan ini bagi melanjutkan pengajian di universiti terkemuka iaitu USM.
* Mohd Rashid Abdul Rejab adalah Timbalan Pendaftar Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca