SHAH ALAM - Kerajaan boleh menimbangkan untuk mewujudkan undang-undang khas atau menggunakan undang-undang khas sedia ada di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat terpedaya dengan helah sindiket... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan boleh menimbangkan untuk mewujudkan undang-undang khas atau menggunakan undang-undang khas sedia ada di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat terpedaya dengan helah sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, peruntukan dalam undang-undang itu akan lebih memudahkan pihak berkuasa menjalankan proses penyiasatan dan penangkapan.

"Disebabkan sukar untuk kita hadapi jenayah terancang di luar negara menggunakan undang-undang biasa, maka kerajaan dicadangkan untuk menggunakan undang-undang khas di bawah Perkara 149 ini.

"Bahagian XI Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan kuasa khas menentang perbuatan subversif, keganasan terancang, perbuatan jenayah yang memudaratkan orang awam dan kuasa darurat.

"Jika sesuatu Akta Parlimen menyebut bahawa tindakan telah diambil atau diancam oleh mana-mana kumpulan manusia sama ada dalam atau di luar Persekutuan, maka apa-apa peruntukan undang-undang itu yang bermaksud untuk mencegah tindakan tersebut adalah sah walaupun ia tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13,” katanya kepada Sinar Harian.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Mengulas lanjut, Khairil Azmin menjelaskan, sindiket penipuan pekerjaan di luar negara adalah jenayah terancang yang merentas negara, jadi agensi Malaysia hanya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan di dalam negara sahaja.

"Masalahnya, ini ialah isu global dan berlaku di luar negara, jadi itu sudah di luar bidang kuasa pihak berkuasa kita.

"Dari segi pendakwaan dan siasatan, mereka adalah penjenayah terancang, mereka pandai dan ada penasihat yang memang tahu undang-undang.

"Apabila melakukan jenayah ini, mereka memang sudah fikirkan undang-undang yang boleh diambil, jadi awal-awal lagi mereka buat persiapan untuk mengelakkan pihak berkuasa mengesan aktiviti mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, sindiket penipuan yang semakin membimbangkan itu perlu diselesaikan menerusi perbincangan rentas kementerian dan agensi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

"(Keputusan) multidimensi tapi banyak bertumpu kepada Wisma Putra. Kita perlu wujudkan koordinasi lebih baik menerusi kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia dengan Polis Antarabangsa (Interpol) serta Polis ASEAN (Aseanapol) dalam usaha mengesan rakyat negara ini yang menjadi mangsa,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca