SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan segera mewujudkan mekanisme atau prosedur operasi standard (SOP) kepada syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan di luar negara supaya dapat memastikan rakyat Malaysia tidak lagi terpedaya dengan taktik sindiket.
Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mamma berkata, dengan adanya SOP yang jelas itu membolehkan hak pekerja terutamanya rakyat negara ini lebih dilindungi.
Langkah itu juga penting untuk memastikan tindakan segera boleh diambil oleh syarikat terbabit jika didapati mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.
"Melihat kepada jumlah rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia semakin menjadi-jadi ketika ini, kita berasakan sudah tiba masanya untuk kerajaan memikirkan supaya mewujudkan mekanisme yang jelas kepada syarikat-syarikat yang beroperasi di negara ini yang menawarkan peluang pekerjaan di luar negara.
"Kita mahu supaya pekerja yang menjadi mangsa tahu hak mereka kerana sekarang ini undang-undang yang ada, mangsa yang ditipu hanya membuat laporan kepada pihak polis untuk tindakan diambil.
"Mungkin kita boleh ambil pengalaman daripada mereka yang pernah menjadi mangsa untuk kita ketahui dengan jelas apa yang berlaku serta apa langkah yang boleh diambil untuk mengatasinya,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mencadangkan langkah yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memastikan tidak ada lagi rakyat negara ini menjadi mangsa.
Jelas Mohamed Shafie lagi, kerajaan juga dicadang supaya menempatkan pegawai polis khas di lapangan terbang antarabangsa untuk memeriksa secara teliti rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara secara berkumpulan terutama ke negara- negara disyaki terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia.
"Sebagai contoh, kalau ada rakyat kita yang ingin ke negara-negara yang diketahui banyak terlibat dengan sindiket dalam jumlah 10 orang ke atas dan berusia lingkungan 20-30 tahun, kita periksa betul dan dapatkan maklumat lanjut tujuan mereka ke sana.
"Tidak salah untuk kita meragui kumpulan yang sebegini kerana kita ingin pastikan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca