GAZIANTEP - Polis Turkiye telah menahan seramai 12 individu termasuk kontraktor setelah lebih 6,000 bangunan runtuh dalam kejadian gempa dahsyat di wilayah Gaziantep dan Sanliurfa pada awal minggu lalu. Media tempatan melaporkan lebih... Klik di sini untuk terus membaca

GAZIANTEP - Polis Turkiye telah menahan seramai 12 individu termasuk kontraktor setelah lebih 6,000 bangunan runtuh dalam kejadian gempa dahsyat di wilayah Gaziantep dan Sanliurfa pada awal minggu lalu.

Media tempatan melaporkan lebih banyak tangkapan akan dibuat selepas pendakwa raya awam di Diyarbakir di salah sebuah wilayah terjejas gempa berkekuatan 7.8 skala Richter mengeluarkan waran tangkap ke atas 29 lagi individu pada Sabtu.

Siri siasatan telah mula dilancarkan di wilayah yang terkesan termasuk Kahramanmaras, di mana daerah Pazarcik merupakan pusat gempa kuat tersebut.

Susulan kemarahan orang ramai yang semakin meningkat terhadap kualiti perumahan yang teruk, Kementerian Kehakiman bertindak mengarahkan pendakwa raya di 10 wilayah tersebut supaya menubuhkan ‘pejabat siasatan jenayah gempa’ khas.

Ketika ini, tahap kemusnahan sebenar masih tidak diketahui walaupun sebahagian daripada struktur yang runtuh itu dikatakan baru sahaja dibina kira-kira enam bulan lalu.

Pakar mendakwa Turkiye mempunyai peraturan untuk mengelakkan malapetaka seperti itu, namun terdapat segelintir syarikat pembinaan didakwa melaksanakannya sambil lewa.

"Jika gempa berlaku, kita boleh jangkakan impaknya terhadap struktur bangunan tetapi bukan seperti apa yang kita lihat sekarang kerana mangsa yang terperangkap biasanya masih boleh berlindung di bawah runtuhan sehingga bantuan tiba.

"Ia jelas keruntuhan penkek (pancake collapse) kerana kegagalan struktur, dengan lantai utama terputus daripada struktur utama lalu tertimbus antara satu sama lain.

"Keadaan itu menyebabkan peluang untuk menemui mangsa yang masih hidup adalah sangat tipis,” ujar Profesor Mustafa Erdik di Bogazici Universitiy di Istanbul.

KONTRAK HANYA ATAS KERTAS

Jadi, bagaimana bangunan tersebut boleh runtuh dengan mudah? Punca sebenar biasanya dikaitkan dengan kualiti konkrit rendah yang kadangkala melibatkan campuran terlalu banyak air dan kerikil.

Keadaan sebuah bangunan yang musnah teruk di Hatay.

Menurut perunding di Universiti Teknikal Istanbul, Zihni Tekin, sebab lain adalah rod keluli yang terlalu nipis untuk menyokong tiang bangunan.

"Perkara ini juga berpunca daripada jurutera dan arkitek yang kebanyakannya tidak berkelayakan walaupun universiti swasta muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan di seluruh negara,” katanya.

Arkitek berpusat di Istanbul, Aykut Koksal berkata, kontrak yang diberikan kepada syarikat swasta berkenaan ‘dipatuhi’ hanya di atas kertas.

"Pengawasan terhadap kontrak tersebut sangat longgar, sekali gus membolehkan firma pembina mengambil sikap acuh tak acuh dengan peraturan yang ditetapkan.

"Sukar untuk mengenal pasti individu sebenar yang bertanggungjawab apabila berlaku tragedi tidak diduga seperti ini kerana sistem birokrasi yang rumit. Terlalu banyak prosedur dan pihak yang lepas tangan,” tegasnya.

Koksal turut menyarankan langkah perlindungan insurans yang dapat memberi pampasan setimpal kepada mangsa jika sebarang insiden berlaku kerana kesilapan kontraktor.

"Turkiye sepatutnya mengikut prosedur sama yang diguna pakai di kebanyakan negara,” ujarnya yang berharap kejadian gempa itu akan menjadi wake-up call kepada pihak berkenaan supaya melakukan pemantauan lebih baik pada masa depan.

Sebelum ini, pakar dalam bidang kejuruteraan dan geologi telah berulang kali memberi amaran tentang pelaksanaan undang-undang pembinaan di Ankara yang tidak mengikut standard sepatutnya.

"Bencana ini disebabkan oleh projek pembinaan yang teruk dan bukan semata-mata kerana impak gempa bumi,” kata Profesor David Alexander untuk Perancangan Kecemasan di University College London. - Agensi Info: - Data rasmi menunjukkan lebih 12,141 bangunan musnah atau rosak teruk dalam kejadian gempa tersebut.

- Peraturan berhubung pembinaan telah beberapa kali disemak semula sejak gempa di barat laut Turkiye pada 1999. Kali terakhir semakan semula dibuat adalah pada 2018.

- Aduan undang-undang pertama tentang struktur bangunan yang lemah difailkan di wilayah Diyarbakir pada Jumaat dan beberapa pihak lain dijangka mengambil langkah sama.

- Jumlah syarikat yang beroperasi dalam sektor hartanah di Ankara meningkat sebanyak 43 peratus dalam tempoh sedekad lalu, mencecah 127,000 sebelum pandemik Covid-19 pada 2020.

- Pemerintah memberikan 'pengampunan pembinaan' secara berkala untuk pengecualian undang-undang pembayaran yuran dan struktur dibina tanpa sijil keselamatan yang diperlukan. Ia diluluskan sejak 1960-an dan terbaharu pada 2018.

- Sehingga 75,000 bangunan di seluruh zon terjejas gempa di selatan Turkiye telah diberikan 'pengampunan pembinaan'.

Klik di sini untuk terus membaca