MENYAMBUNG legasi perkhidmatan ditinggalkan ahli Parlimen terdahulu selama tiga penggal bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, Tan Kar Hing menyahut cabaran meneruskan khidmat bakti Dr Lee Boon Chye sebagai Ahli Parlimen Gopeng bagi penggal pertama.
Bukan sahaja isu di kawasan, malah beliau turut mengikuti rapat perkembangan semasa negara untuk memastikan isu-isu rakyat terus diberikan perhatian oleh kerajaan. Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, Saifullah Ahmad bersama Kar Hing yang ditemui di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gopeng di Ipoh, baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Pada pandangan Yang Berhormat (YB), apakah isu-isu penting dalam negara yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan ketika ini?
KAR HING: Bagi saya, dua perkara paling penting untuk diberikan tumpuan ketika ialah isu ekonomi dan pendidikan. Isu ekonomi ini kita perlu selesaikan dengan baik. Jika melihat kepada angka-angka yang ada dari segi hutang negara, kadar kemiskinan dan kadar pengangguran agak membimbangkan walaupun ada perkembangan positif.
Untuk pendidikan pula, kita perlu reform sebab bagi saya, kita punya cara sama ada pengajaran atau silibus kepada guru agak tertinggal dari segi trend teknologi terkini. Dulu, kita seperti kilang yang menghasilkan produk untuk memenuhi pasaran industri, tetapi kini kita harus mengikut trend dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang melibatkan inovasi, teknologi dan kejuruteraan.
Bagi saya, pendidikan sangat penting. Selain itu, kita memerlukan infrastruktur pendidikan yang terkini di sekolah seperti smart board, peralatan makmal sekolah dan sebagainya. Kalau kita tak selesaikan perkara ini, negara kita akan berdepan krisis dalam tempoh 10 tahun ini dan kita akan ketinggalan berbanding dengan negara Indonesia, Singapura malah Thailand di rantau Asia Tenggara.
Apakah cadangan yang boleh kemukakan kepada kerajaan untuk memastikan isu-isu berkaitan dapat diselesaikan segera?
Bajet adalah penting untuk kita lihat bagaimana tanpa ada cukai baharu dengan hutang yang banyak, apakah cara untuk kita perbaiki kedudukan ekonomi negara kita. Mungkin kita perlukan kerjasama dengan pihak swasta atau syarikat korporat dan kita tak boleh nak kembali seperti sebelum ini di mana kerajaan melaksanakan projek-projek besar sebagai enjin untuk menolak ekonomi kita.
Antara yang boleh dilaksanakan ialah memperkasa ekonomi digital. Begitu juga soal pendidikan, perlu ada kerjasama di antara kementerian-kementerian berkaitan dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran sentiasa mengikuti perkembangan semasa tanpa memberi bebanan sepenuhnya kepada Kementerian Pendidikan.
Kemenangan YB pada PRU15 lalu sebagai Ahli Parlimen Gopeng menyambung legasi ditinggalkan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye yang berkhidmat cemerlang lebih tiga penggal. Adakah ia satu tekanan dan bagaimana penerima masyarakat sebagai ahli Parlimen baharu?
Sudah tentu Dr Lee sudah meletakkan benchmark yang tinggi sebagai ketua cabang dan ahli Parlimen. Bagi saya, memang ada satu tekanan yang agak besar juga sebab saya dilihat sebagai penyambung tugas itu, kalau tak lebih baik (perkhidmatan) sekurang-kurangnya setaraf dengan prestasi yang dibuat.
Tetapi (tekanan) itu menjadi dorongan kepada saya supaya tak ada alasan untuk curi tulang dan perlu buat kerja dengan baik dari segi menjaga hubungan dengan ahli parti serta masyarakat di bawah sepertimana yang Dr Lee buat.
Apakah antara isu-isu tertangguh yang masih belum diselesaikan di kawasan Parlimen Gopeng dan bagaimana isu-isu berbangkit tersebut dapat diselesaikan?
Gopeng mempunyai potensi yang besar. Selama 10 hingga 15 tahun sebelum ini oleh kerana pergolakan politik berlaku di Perak, jadi tak dapat untuk kami di Gopeng membawa hasrat untuk membina dan membangunkan kawasan kerana menang menjadi pembangkang dan kebiasaannya kawasan pembangkang tidak diberikan keutamaan untuk dibangunkan.
Sekarang, dengan kerajaan Pusat yang sama, kerajaan negeri yang sama, saya harap boleh membawa sesuatu pembangunan yang lebih pesat di kawasan Gopeng sebab kita boleh lihat kepada fasiliti dan kemudahan awam perlu dinaik taraf dan tempat-tempat di kawasan Gopeng perlu ada pelaburan yang lebih banyak untuk menyediakan peluang pekerjaan.
Kawasan Parlimen Gopeng juga terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang menjadi tumpuan pelancong bagi segmen ekopelancongan. Bagaimanakah produk ekopelancongan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa mengganggu alam sekitar?
Kawasan Gopeng ini banyak bergantung kepada produk pelancongan. Walaupun kawasan pelancongan di Gopeng agak baik terutama eko-pelancongan, namun tak boleh nak buat lonjakan ke satu tahap yang lebih tinggi. Kalau kita nak tarik lebih ramai pengunjung dari luar negara, kita perlukan fasiliti yang lebih baik seperti jalan akses untuk naik ke kawasan eko-pelancongan kerana ketika ini akses sangat terhad hanya boleh pakai kenderaan yang kecil.
Disebabkan faktor-faktor seperti itu, ia menyekat perkembangan dan kita perlu cari bajet serta perancangan lebih baik untuk memastikan kawasan itu dapat dibangunkan dengan infrastruktur yang lebih lengkap. Kita tak boleh tunggu pihak swasta buat tetapi perlu campur tangan kerajaan untuk buat.
PROFIL YB
Nama: Tan Kar Hing
Umur: 41
Asal: Rawang
Status: Berkahwin dan mempunyai dua orang anak
Jawatan: Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri Perak Timbalan Ketua PKR Cabang Gopeng