SHAH ALAM - Projek mega berskala besar tidak perlu diteruskan sekiranya sekadar ikonik tetapi menelan belanja yang besar. Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Alam Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Projek mega berskala besar tidak perlu diteruskan sekiranya sekadar ikonik tetapi menelan belanja yang besar.

Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Alam Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, lazimnya projek sebegitu hanyalah simbol keegoan pemimpin yang ingin meninggalkan legasi semasa pentadbirannya.

Bagaimanapun tegasnya, bukan semua projek pembangunan mega tidak wajar diteruskan kerana perlu diambil kira manfaat projek pembangunan mega secara signifikan kepada rakyat keseluruhannya.

"Projek mega itu perlu lihat bergantung kepada jenis pembangunan itu sendiri. Sekiranya memberi impak yang besar kepada pertumbuhan ekonomi dan mampu meningkatkan nilai tambah secara menyeluruh, ia perlu dilaksanakan.

"Kita boleh katakan projek mega yang tidak memberi impak adalah jenis projek berbentuk ikonik seperti bangunan pencakar langit,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) wajar dihidupkan kembali oleh Kerajaan Perpaduan setelah menerima pertimbangan Singapura baru-baru ini.

Pakar ekonomi, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor dilaporkan berkata, ini kerana ia boleh menjadi pemangkin dalam mengembalikan sektor pelancongan, pelaburan dan hubungan diplomatik dengan negara jiran.

Biasanya perancangan sesebuah projek mega akan dilakukan dengan teliti, bagaimanapun pelaksanaannya sering kali tidak seperti dijangkakan.

Sementara itu, Muhammad Azwan menegaskan, tiada masalah untuk projek mega diteruskan seandainya semua rakyat boleh merasai kesannya termasuk apabila berupaya meningkatkan peluang pekerjaan dan ekonomi sekitar serta membuka ruang pertumbuhan bandar-bandar baharu.

Ujar beliau, antara projek mega yang wajar diteruskan adalah HSR dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang memberi banyak manfaat kepada rakyat.

"Sebagai contoh projek mega ECRL mampu meluaskan jaringan pengangkutan awam antara negeri malah dijadikan hab pengangkutan perdagangan (kargo) yang sememangnya memberikan kesan positif.

"Kita amat rugi kalau projek mega seperti HSR antara Kuala Lumpur-Singapura dibatalkan kerana impak dari sudut ekonomi sebenarnya sangat besar,” ulasnya.


10 projek mega di Malaysia

Projek terowong dasar laut Pulau Pinang

Status: Dalam perbincangan

Tarikh dijangka siap: 2030

Kos pembinaan: RM6.3 bilion

Lebuhraya Pan Borneo

Tarikh dibina: 31 Mac 2015

Tarikh dijangka siap: Mac 2023

Kos pembinaan: RM16.1 bilion

Menara 118

Tarikh dibina: 30 November 2017

Tarikh dijangka siap: 2023

Kos pembinaan: RM5 bilion

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL)

Tarikh dibina: 2017

Tarikh dijangka siap: 31 Disember 2026

Kos pembinaan: RM50.27 bilion

Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3)

Tarikh dibina: 2017

Tarikh dijangka siap: 28 Februari 2024

Kos Pembinaan: RM16.63 bilion

Transit Aliran Massa 3 (MRT 3)

Tarikh dibina: 2021

Tarikh dijangka siap: 2030

Kos pembinaan: RM50.2 bilion

Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR)

Status: Dibatalkan

Tarikh pembatalan: 31 Disember 2020

Kos pembinaan: RM110 bilion

Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP)

Status: Dibatalkan

Tarikh pembatalan: 2018

Kos pembinaan: RM9.4 bilion

Projek Bekalan Gas dan Janakuasa Kedah

Tarikh dibina: 2023

Tarikh dijangka siap: Tidak dinyatakan

Kos pembinaan: RM14 bilion

Projek Taman Ilmu, Terengganu

Tarikh dibina: 2004

Tarikh dijangka siap: Dibatalkan

Dibatalkan oleh: Kerajaan Terengganu

Kos pembinaan: RM800 juta

Klik di sini untuk terus membaca