MASALAH peningkatan defisit fiskal dan hutang negara yang mencecah RM1.5 trilion hakikatnya tidak menghalang Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi tumpuan pelaksanaan projek berimpak tinggi atau skala mega pada tahun ini sekiranya berkeperluan.
Bagaimanapun, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai menolak cadangan itu sekiranya tumpuan peningkatan perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2023 difokuskan sepenuhnya kepada projek pembangunan infrastruktur sebagaimana pembangunan Menara Merdeka 118 dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ujar beliau, adalah lebih baik pelaksanaan projek berimpak tinggi dan berskala mega ditumpukan kepada pembangunan manusia, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kesihatan yang bersifat jangka panjang.
Hal ini kerana Barjoyai menegaskan di sebalik kekangan fiskal dihadapi negara, projek perbelanjaan pembangunan masih merupakan satu aspek penting dalam belanjawan negara yang bakal memberikan impak positif jangka masa panjang sekiranya dilaksanakan secara berhemah.
"Dalam pembentangan Belanjawan 2023 oleh Kerajaan Keluarga Malaysia tahun lepas, lebih RM90 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan dengan angka itu mencatatkan kenaikan hampir RM40 bilion berbanding belanjawan tahun terdahulu.
"Bagi saya, rancangan pelaksanaan projek mega oleh kerajaan bagi memacu ekonomi domestik amat dialu-alukan pada tahun ini tetapi kita tidak mahu projek pembangunan berasaskan infrastruktur.
"Lebih baik projek berskala besar dilaksanakan dalam bentuk pembangunan dalaman seperti pembangunan manusia, R&D dan kesihatan.
"Hal ini kerana jumlah perbelanjaan pembangunan dalaman seperti R&D dan harta intelek di Malaysia sangat rendah berbanding negara-negara membangun lain. Sepatutnya kita sudah mengunjurkan perbelanjaan sehingga lima peratus untuk perkara berkenaan supaya negara dapat memperkenalkan produk baharu dalam memacu ekonomi masa depan,” katanya kepada Sinar Premium.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kewajaran Kerajaan Perpaduan menyalurkan sejumlah peruntukan yang besar dalam perbelanjaan pembangunan Belanjawan 2023 bagi pelaksanaan projek-projek mega dan berimpak tinggi demi memacu ekonomi domestik.
Persoalan itu timbul susulan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar dan pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi yang meminta kerajaan tidak menghidupkan kembali pelaksanaan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura memandangkan pengangkutan dalam negara dan antarabangsa sudah mencukupi.
Dibatalkan pada tahun 2021, bibit-bibit kemungkinan HSR akan direalisasikan Malaysia-Singapura kembali timbul selepas Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Singapura, Dr Mohamad Maliki Osman menyatakan republik itu sedia meneliti semula projek berkenaan dengan kerajaan Malaysia.
Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berpandangan, cadangan pelaksanaan pelbagai projek mega dan berimpak tinggi perlu diteliti kerajaan secara komprehensif sama ada ia satu keperluan atau kehendak.
Jelasnya, kerajaan perlu memastikan kerancakan sektor perindustrian tinggi yang digerakkan menerusi belanja pembangunan kerajaan benar-benar memberikan spill over effect kepada rakyat negara ini.
"Perbelanjaan pembangunan sangat penting di saat kegawatan ekonomi negara dijangka berlaku pada tahun 2023.
"Ditambah laporan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan ekonomi negara di landasan terbaik dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka meningkat sekitar lapan peratus tahun ini, kerajaan masih perlu berhati-hati dalam melaksanakan sebarang projek berimpak tinggi.
"Ini kerana kita tidak mahu pelaksanaan sesuatu projek mega itu berasaskan perjanjian berat sebelah di mana akhirnya kerajaan terpaksa membuat keputusan tidak jelas yang menyebabkan negara menanggung kerugian susulan terpaksa membayar pampasan pembatalan projek,” jelasnya.
Selain kebimbangan projek mega dilaksanakan atas perjanjian berat sebelah, Baharom turut menasihatkan kerajaan baharu agar tidak menyerahkan sepenuhnya proses pelaksanaan projek berimpak tinggi kepada syarikat ekspatriat sebagaimana berlaku dalam projek ECRL.
"Saya khuatir ECRL jika tidak dipantau sepenuhnya akan menjadi contoh projek yang bersifat ‘menang sorak, kampung tergadai’,” tambah beliau.
Klik di sini untuk terus membaca