SHAH ALAM - Wakil pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpandangan bahawa jawatan baharu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan, Tan Sri Mohd Hassan Marican itu lebih... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Wakil pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpandangan bahawa jawatan baharu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar sebagai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan, Tan Sri Mohd Hassan Marican itu lebih inklusif.

Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari berpandangan, tindakan Nurul Izzah untuk tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri itu merupakan keputusan yang wajar.

"Saya rasa ia merupakan satu langkah bijak apabila beliau melepaskan jawatan sebagai Penasihat Ekonomi PM dan beralih ke jawatan sekretariat yang lebih inklusif. Beliau tidak lagi bekerja secara individu sebagai penasihat tetapi akan menganggotai satu pasukan di sana.

"Jawatan sebagai sekretariat merangkumi aspek yang lebih besar di mana ia dapat membantu Perdana Menteri agar membentuk satu pasukan yang lebih baik untuk negara. Oleh itu, keputusan untuk umum keluar dari pejabat Perdana Menteri merupakan keputusan wajar dilakukan,” katanya kepada Sinar Premium.

Awang Husaini yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, jawatan Nurul Izzah dalam sekretariat adalah lebih baik daripada menjadi penasihat ekonomi Perdana Menteri kerana ia lebih komprehensif dan menyeluruh.

"Bagi saya, kedua-kedua jawatan tersebut bagus dan Nurul Izzah layak memegangnya. Namun, jawatan baharu ini lebih baik kerana beliau berada dalam satu pasukan yang lebih komprehensif.

"Kebaikan pelantikan jawatan ini kepada PKR bergantung kepada apa peranan yang diberikan kepada Nurul Izzah. Adakah untuk memperhalusi jawatan kerajaan atau memperbaikinya supaya lebih telus?

"Sekiranya peranan penasihat Perdana Menteri dibawa kepada jawatan baharu, saya rasa ia bukan sahaja memberi kebaikan kepada PKR malah ia suatu kelebihan untuk negara,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, keputusan yang dibuat Nurul Izzah itu merupakan suatu perkembangan positif buat parti dan kerajaan.

"Tindakan itu menunjukkan Nurul Izzah ada prinsip tersendiri selepas mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak. Saya percaya ia merupakan perkembangan positif.

"Jawatan baharu ini akan menjauhkan beliau daripada dakwaan nepotisme dan dapat memberikan sumbangan penting dari segi menyelaraskan pandangan penasihat ekonomi yang dilantik di samping memainkan peranan utama dalam kerajaan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca