KIEV - Ketika fasa awal konflik Ukraine-Rusia tercetus, sekeping gambar memaparkan poster tertera, ‘jika Moscow hentikan pertempuran, tidak akan berlaku peperangan. Jika Kiev berhenti bertempur, tiada lagi Ukraine’.
Krisis itu sudah berlarutan selama hampir setahun dan sehingga kini masih tiada ‘pemenang’ dalam peperangan tersebut malah masa depan Kiev juga semakin kelam.
Tindakan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah yang tidak putus-putus menghantar bekalan senjata kepada Ukraine hanya menyemarakkan lagi api peperangan tersebut.
Selepas rancangan awal untuk melancarkan serangan kilat (blitzkrieg) gagal pada Mac 2022, Moscow telah menukar strategi mereka dan menyasarkan orang awam - dikatakan telah menjadi salah satu daripada taktik utama Kremlin yang mengundang kecaman negara antarabangsa.
Tentera Ukraine kemudiannya melancarkan serangan balas pada awal September 2022, sekali gus menandakan peralihan fasa peperangan itu menjadi lebih sengit.
Rusia tidak hanya berdiam diri malah ia terus meningkatkan serangan ke atas penempatan orang awam dan infrastruktur penting di Kiev setelah ia berdepan kekalahan termasuk kehilangan sejumlah besar anggota barisan hadapan.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), peperangan itu telah meragut sekurang-kurangnya 18,000 nyawa orang awam, sehingga 40 peratus perumahan musnah dan 50 peratus infrastruktur tenaga di Kiev rosak atau musnah.
Selain itu, lebih 16 juta penduduk Ukraine terpaksa meninggalkan rumah masing-masing manakala kira-kira 40 peratus populasi di negara itu dijangka memerlukan bantuan kemanusiaan segera untuk tempoh beberapa bulan akan datang.
Kira-kira 5.91 juta atau 65 peratus daripadanya yang terdiri daripada wanita dan kanak-kanak perempuan terpaksa menjadi pelarian dalam negara sendiri.
Data Bank Dunia juga menganggarkan sebanyak 60 peratus penduduk di negara itu dijangka hidup di bawah garis kemiskinan.
Kemusnahan berskala besar aset perindustrian, ekosistem dan kehilangan biodiversiti serta tahap pencemaran udara, tanah dan air yang teruk akibat konflik itu bagaimanapun jarang diperkatakan secara umum.
Perancangan serangan taktikal yang rapi menyebabkan tentera Ukraine berupaya menghalang kemaraan Rusia walaupun kekuatan pasukan mereka jauh lebih kecil berbanding Moscow.
Melihat kepada kelebihan musuh mereka, Rusia percaya mereka mungkin boleh menang peperangan tersebut jika ia mengerahkan lebih ramai anggota tentera.
Beberapa penganalisis mendakwa Moscow merancang operasi berskala besar pada musim bunga akan datang.
Menteri Pertahan Ukraine, Oleksii Reznikov turut mengiyakan perkara itu dengan menyatakan operasi tersebut bertepatan dengan ulang tahun pertama kempen pencerobohan mereka ke atas Kiev pada 24 Februari ini.
"Rusia akan mengerahkan kontinjen lebih besar terdiri sehingga hampir 500,000 anggota walaupun ia mengumumkan pengerahan sehingga 300,000 orang sebelum ini. Kami tidak sesekali memandang rendah keupayaan seteru kami,” katanya.
Kiev pula tidak hanya akan berdiam diri dengan ancaman tersebut yang dikhuatiri akan memburukkan lagi konflik itu setelah ia kini meminta bantuan bekalan senjata berat dari sekutunya.
Presiden Rusia, Vladimir Putin dijangka lebih bersedia dengan 'operasi khas' yang memasuki tahun kedua dengan taktik lebih ganas untuk terus mara ke bandar-bandar utama manakala seterunya, Volodymyr Zelenskyy tetap mendapat sokongan Barat yang khuatir jika konflik itu merebak ke rantau Eropah.
Menurut Gideon Rose, penulis buku How Wars End, setiap peperangan mempunyai tiga fasa iaitu serangan pembukaan, perjuangan untuk mendapatkan kelebihan dan perjuangan selesai.
Konflik di Ukraine dikatakan sedang berada dalam fasa pertengahan atau kedua.
Fasa akhir pula biasanya tamat dalam dua keadaan sama ada menjadi lebih buruk atau kedua-dua belah pihak mencapai perjanjian damai bersejarah seperti pernah dimeterai antara Mesir dan Israel pada 1973.
Sehingga kini, Rusia dan Ukraine terus berdolak-dalik untuk berunding bagi menghentikan peperangan itu kerana kedua-duanya masih berusaha mempamerkan kekuatan masing-masing kepada dunia.
Pemimpin Eropah yang diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pula seolah-olah cuba memburukkan lagi konflik itu melalui keputusan mereka yang kononnya mahu memperkukuhkan pertahanan Ukraine dengan penghantaran bekalan senjata secara berperingkat sejak tahun lalu tanpa menyedari ia mungkin jatuh ke tangan pihak yang salah.
Campur tangan secara berlebih-lebihan seperti itu termasuk siri sekatan oleh Barat hanya mengundang kemarahan Rusia malah orang awam tidak berdosa terus menjadi mangsa konflik berpanjangan tersebut.
Melihat kepada perkembangan peperangan itu, sudah jelas Ukraine hanyalah 'boneka' kepada Barat untuk menggugat kedudukan Rusia.
Klik di sini untuk terus membaca