TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini mempunyai pucuk kepimpinan yang baharu apabila Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dilantik sebagai Panglima Tentera Laut ke-18 pada 27 Januari lalu menggantikan Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.... Klik di sini untuk terus membaca

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini mempunyai pucuk kepimpinan yang baharu apabila Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dilantik sebagai Panglima Tentera Laut ke-18 pada 27 Januari lalu menggantikan Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Penggantian ini mempunyai signifikannya tersendiri memandangkan mantan panglima TLDM sebelum ini dianggap banyak pihak sebagai amat lantang memperjuangkan isu aset usang sepanjang perkhidmatan beliau.

Tidak semua pihak terutamanya dalam kalangan kepimpinan politik, birokrat, industri, malah mungkin juga TLDM sendiri selesa dengan cara kepimpinan beliau yang dianggap mereka abrasif.

Jika mereka yang kurang senang dengan mantan panglima mahu meraikan persaraan beliau dan menarik nafas lega, ia mungkin terlalu awal untuk berbuat demikian.

Abdul Rahman ketika menyampaikan Perintah Ulung Panglima Tentera Laut ke-18 di Auditorium Wisma Pertahanan telah menegaskan bahawa beliau bakal terus mengukuhkan batu asas pembangunan kemampuan hakiki TLDM yang diwarisi daripada Mohd Reza.

Keutamaan adalah pembangunan kesiagaan Armada dengan kesinambungan Pelan Transformasi TLDM 15-to-5, namun dengan elemen proses ubah suai khusus.

Ia bertujuan menghentikan pelbagai ketirisan dan kelompongan yang telah mencalar bukan sahaja imej, malah kemampuan hakiki TLDM di samudera.

Selain itu, Panglima Tentera Laut telah menyatakan 4 Teras TLDM sedia ada iaitu, tepat, relevan, diteruskan serta pengubahsuaian tertentu akan terus menjadi landasan panduan kemantapan angkatan laut.

Bagi rakyat marhaen, pembangunan kekuatan TLDM kerap diukur mereka hanya dengan kewujudan platform atau aset fizikal.

Ini kurang tepat kerana proses pelan pembangunan kekuatan aset turut mengambil kira antara lain, strategi, ancaman, kemampuan modal insan dan industri, kos kewangan, birokrasi dan akauntabiliti.

Pada ucapan beliau, Panglima TLDM telah menyentuh perkara yang mempunyai signifikan dan mungkin sebagai jawapan kepada persoalan kenapa berlakunya isu permasalahan program mega seperti NGPV dan LCS.

Tambah beliau lagi, penting untuk TLDM agar berhenti sejenak bagi menilai semula hasil dan rasional terhadap setiap inisiatif serta program utama agar objektifnya dapat dicapai.

Beliau menyatakan terdapat ‘jurang yang perlu diisi’ yang selama ini menghalang daripada keempat-empat teras TLDM dapat dicapai dengan jayanya seterusnya memberi impak besar kepada pembangunan aset dan modal insan angkatan tersebut.

Jurang ini menurut beliau perlu diberi keutamaan dengan memberi fokus kepada tiga perkara, iaitu pertama, libat urus berkesan untuk memudah cara dan membantu mengatasi masalah birokrasi; kedua, saluran komunikasi telus dan proses libat urus profesional dan ketiga, memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik luar negara.

Panglima TLDM menekankan bahawa saling memahami keperluan serta proses kerja yang perlu dipenuhi terutamanya dengan Kementerian Pertahanan dan agensi kerajaan adalah sesuatu yang imperatif bagi menjayakan projek-projek utama di luar kawalan TLDM.

Beliau juga menyentuh hubungan TLDM dengan rakan industri, khususnya di industri pertahanan yang perlu diperbaiki.

Saluran komunikasi yang telus dan proses libat urus yang profesional pastinya berupaya mengelak situasi interpretasi yang berbeza dan persepsi negatif antara pihak terbabit.

Apabila kesemua faktor ini wujud dalam proses melaksana program bernilai berbilion ringgit, maka interpretasi berbeza antara pihak terbabit, salah guna kuasa, penyelewengan dana dan rasuah akan membiak dengan subur.

Akibatnya sinergi yang sepatutnya wujud antara TLDM, Kementerian Pertahanan dan industri tinggal sebagai kenangan indah sahaja.

Sebagai sebuah angkatan yang bermaruah, diberi tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan negara, suara TLDM sepatutnya diberi keutamaan.

‘Teguran’ yang bernas kepada pihak Kementerian Pertahanan dan industri dalam perintah ulung Abdul Rahman dengan jelas membayangkan TLDM kini tidak lagi mahu dilihat sebagai entiti yang hanya mampu menadah tangan mengemis dan menerima apa jua cebisan yang dilemparkan kepada mereka.

Pembangunan aset TLDM perlu sejajar dengan pergolakan geostrategik dan ancaman serantau yang bersifat dinamik, inilah yang perlu difahami oleh birokrasi di Kementerian Pertahanan dan industri.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima Anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca