HARI ini 14 Februari ialah Hari Valentine, hari memperingati kekasih. Yang merayakannya pula biasanya anak-anak muda yang belum berkahwin.
Setelah berkahwin, dengan begitu banyak beban kehidupan, cinta hanya tertinggal sebagai ungkapan. Selebihnya ialah perit jerih kehidupan berumah tangga.
Ada satu kisah yang diajar dalam kelas psikologi sosial di universiti tentang seorang suami yang menulis nota cintanya kepada isterinya.
Terjemahannya lebih kurang begini, ‘Tatkala surat ini sampai kepadamu, aku mungkin sudah tua dan beruban.
Tetapi ketahuilah bahawa cintaku tetap segar seperti hari ini. Ia mungkin mengambil masa seminggu atau beberapa tahun untuk surat ini sampai kepadamu.
Jika surat ini tidak pernah sampai kepadamu, percayalah yang ia tetap tertulis di hatiku yang aku sangat mencintaimu’.
Nota cinta itu dimasukkan ke dalam botol dan dihanyutkan ke Lautan Pasifik pada tahun 1971. 10 tahun kemudian ia ditemui di pantai Guam.
Wanita yang tertera dalam surat tadi telah dihubungi melalui telefon. Lalu ditanya apa kesudahan cinta mereka. Dengan marah, wanita itu menghentak telefonnya dan berkata, "Kami sudah bercerai!”
Penyelidik psikologi umumnya percaya bahawa cinta berlainan jantina ini adalah sifat universal semua manusia. Ia ada dalam semua budaya.
Tapi budaya manusia telah mentafsirkan percintaan itu dengan cara yang tersendiri. Jika kita bertanya wanita, adakah mereka mahu menjadi isteri kedua?
Jawapan yang kita biasa dengar ialah tidak. Ini kerana tak menjadi pilihan pertama itu menyakitkan.
Tetapi bagi suku kaum Taita di Kenya, menjadi isteri pertama bukan semestinya hal yang diimpikan. Ini kerana rata-rata perkahwinan pertama diatur oleh keluarga.
Jadi kebanyakannya berkahwin kerana terpaksa. Begitu juga si suami yang mungkin mempunyai kekasih yang lain. Jadi perkahwinan pertama ibaratnya adalah permulaan kepada remuknya cinta yang satu lagi.
Tak semua budaya juga kelihatannya meraikan pasangan bercinta.
Di Pakistan, pada tahun 2014, Farzana Parveen telah direjam sampai mati kerana mengahwini lelaki yang dicintainya, dan bukan yang dipilih keluarganya.
Suaminya pula dituduh sebagai menculik. Ia hal yang biasa di banyak negara Asia Selatan.
Dalam budaya kita dulu pun, kita tak begitu suka jika ada anak bujang atau gadis kita bercinta.
Kita selalu berikan alasan mereka masih muda, dan juga bimbang mereka akan melakukan perkara tidak baik.
Kita cenderung memilih calon untuk mereka, seseorang yang kita rasa baik pada pandangan kita, dan bukan pada mata anak-anak kita.
Tetapi hakikatnya, anak muda terus bercinta sepanjang zaman.
Cuma caranya yang berbeza. Di zaman dahulu mungkin diletakkan bedak dalam kiriman surat. Dunia hari ini, mereka tidak hanya ‘berdating’, tapi juga membuat panggilan video berjam-jam.
Anak muda di kampung mungkin sorok-sorok bertemu di pinggir jalan, yang tinggal di bandar mungkin singgah di pasar raya. Dunia berubah, cinta tidak.
Tetapi adakah cinta akan kekal di hati manusia dengan pasangannya? Mungkin ya dan boleh jadi tidak.
Awal tahun ini, di Amerika Syarikat, Ana Walshe, 39, telah dibunuh dengan kejam oleh suaminya.
Lebih menyedihkan, suaminya Brian telah membuat carian di Google untuk mempelajari cara membunuh isterinya.
Antara kata kuncinya ialah ‘10 cara melupuskan mayat’ dan ‘gergaji alat terbaik untuk memotong’.
Dua tahun lalu, di Brazil, seorang wanita telah membunuh suaminya. Setelah itu alat kelaminnya dipotong, kemudiannya digoreng.
Cerita-cerita ini sekadar peringatan untuk semua yang bercinta - betapa cinta ini hanya indah untuk dilagukan, selebihnya mungkin sekadar kisah tragis yang menyakitkan.
Mungkin inilah nota Hari Mengingati Kekasih kepada semua yang bercinta. Maaf, jika ia tak begitu menghangatkan.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan Adjunct Associate Professor di PSC Global Observatory, Universiti of South Australia.
Klik di sini untuk terus membaca