SHAH ALAM - Peletakan jawatan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi implikasi besar kepada kerajaan, sebaliknya wajar dihormati dan diterima oleh rakyat Malaysia.
Penganalisis politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, selagi tindakan itu menepati kriteria dan boleh menyumbang kepada negara, maka ia seharusnya dilihat sebagai satu keterbukaan dalam politik.
"Sudah tentu ia akan memberi satu persepsi yang kurang baik namun keputusan itu merupakan tindakan peribadi Nurul Izzah dan wajar diterima oleh semua pihak.
"Apa yang penting sekarang ini ialah Nurul Izzah perlu membuktikan kewibawaannya melaksanakan tanggungjawab apabila dilantik ke jawatan tersebut.
"Semestinya, rakyat Malaysia mahukan perubahan yang boleh dilihat dari segi pembangunan ekonomi dan isu permasalahan masyarakat,” katanya.
Justeru, Noor Nirwandy berkata, orang ramai harus menerima perkara tersebut seperti mana mereka menerima pelantikan Naib Presiden Parti Keadilan rakyat (PKR) itu sebagai penasihat ekonomi Anwar berdasarkan kapasiti yang ditentukan oleh Perdana Menteri.
"Siapa pun yang dilantik tidak boleh lari daripada persepsi orang ramai. Nurul Izzah tidak boleh mengikut kehendak semua pihak terhadap keputusan yang telah dibuat tetapi beliau harus memastikan masyarakat berpuas hati dengan apa yang bakal disumbangkan walau dalam jawatan apa sekalipun.
"Kayu pengukurnya di sini adalah kewibawaan, keutuhan dan keberkesanan yang membawa kepada kepentingan masyarakat. Kepentingan rakyat itu harus diletakkan sebagai perkara utama,” katanya.
Sebelum ini, puteri sulung kepada Perdana Menteri itu mengumumkan peletakan jawatannya pada malam Ahad dan membuat keputusan menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Hassan Marican.
Peletakan jawatan Nurul Izzah itu dibuat susulan kritikan pelbagai pihak terhadap pelantikannya yang dikaitkan dengan amalan nepotisme.
Sementara itu, Noor Nirwandy berkata, satu cabaran juga buat Perdana Menteri dan unit ekonomi untuk membuktikan kemampuan mereka kerana masyarakat mengharapkan sesuatu yang positif susulan peletakan jawatan Nurul Izzah.
"Anwar masih lagi dalam proses merancang satu bentuk pendekatan ekonomi. Anwar perlu memastikan apa jua perkara yang berlandaskan ekonomi atau strategi keselamatan dapat dicapai, tidak kira siapa pun yang bakal dilantik selepas ini.
"Apa yang masyarakat mahukan adalah pelan keselamatan ekonomi yang telah dirancang dapat dicapai dengan sebaiknya, bukan sekadar retorik,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca