SHAH ALAM - Kontraktor akan mengalami kerugian dan berdepan pelbagai masalah termasuk terpaksa memberhentikan pekerja sekiranya projek mega tidak diteruskan dalam masa terdekat.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, masalah tersebut menyebabkan ramai kontraktor perlu menanggung hutang selain tidak mampu membayar gaji pekerja akibat tiada projek.
"Projek mega mesti diteruskan kerana kalau tidak dilaksanakan, ia akan beri kesan kepada kontraktor yang tiada kerja untuk menjalankan projek.
"Jadi kontraktor mesti ada projek. Sekiranya projek itu dihentikan maka ia akan timbulkan banyak masalah kepada kami kerana perlu bayar pekerja, operasi syarikat, kos bahan dan sebagainya.
"Pilihan terakhir yang ada terpaksa tamatkan perkhidmatan pekerja sebab tidak mampu nak bayar gaji mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Mohamed Fadzill, kontraktor juga sedang bergelut dengan isu kenaikan kos bahan binaan disebabkan keadaan ekonomi tidak menentu selain kesan pandemik Covid-19 yang melanda terlalu lama.
Menurutnya, apabila projek mega diteruskan maka pelbagai pihak mendapat manfaat bukan sahaja industri pembinaan dan majikan malah rakyat juga menerima impak positif dari segi pembangunan selain ekonomi menjadi pulih dan berkembang seperti biasa.
"Apabila projek dihentikan terlalu lama ia akan beri kesan di mana rakyat tiada kerja, tiada pendapatan dan ekonomi menjadi buruk tetapi sekiranya ia diteruskan pelbagai kesan positif diterima oleh semua pihak,” ujarnya.
Justeru, beliau menyarankan kerajaan untuk memastikan semua projek mega itu dapat dilaksanakan dengan lancar selain memberi kelonggaran kepada kontraktor untuk menjalankan projek berkenaan dengan baik dan cepat.
"Kurangkan halangan dan permudahkan urusan untuk mengambil pekerja asing. Ini kerana kekurangan pekerja asing di tapak binaan menyukarkan kami untuk menjalankan projek,” jelasnya.
Ujarnya, urusan pengambilan pekerja asing masih tidak diselesaikan lagi kerana pihaknya perlu menunggu lama untuk kelulusan permohonan tersebut.
"Perkara seperti ini melambatkan urusan dan sepatutnya tenaga kerja asing perlu digunakan secepat mungkin.
"Jadi urusan pekerja asing ini perlu segera diluluskan supaya projek itu berjaya disiapkan dengan cepat. Bagaimana projek nak jalan kalau pekerja pun tiada maka kerajaan perlu selesaikan perkara tersebut dengan segera,” tambah beliau.
Klik di sini untuk terus membaca