SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen UMNO wajib menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga akhir penggal Parlimen ke-15 bagi mewujudkan kestabilan politik dan memastikan proses pemulihan ekonomi negara lancar. Bekas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Semua ahli Parlimen UMNO wajib menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hingga akhir penggal Parlimen ke-15 bagi mewujudkan kestabilan politik dan memastikan proses pemulihan ekonomi negara lancar.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, biarpun UMNO berasa kurang selesa kerana bergabung dengan DAP untuk menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, namun mereka terpaksa menyokong kepimpinan Anwar demi perjuangan membela nasib dan kebajikan orang Melayu.

Dr Mohamad Khir berkata, ekonomi bakal runtuh dan keadaan politik negara akan menjadi bertambah buruk jika ada wakil rakyat UMNO atau parti lain dalam kerajaan masih cuba menjatuhkan Anwar dan menubuhkan ‘kerajaan tebuk atap’ atau ‘kerajaan pintu belakang’.

"UMNO boleh bekerjasama dengan semua parti dalam kerajaan sekarang termasuk DAP, dengan syarat mereka tidak bersikap terlalu ekstrem.

"Jadi kita harap DAP berani mengambil tindakan tegas terhadap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy kerana sering mengeluarkan kenyataan yang menggores hati dan perasaan orang Melayu,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada semua wakil rakyat UMNO akan menyokong Anwar kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titah diraja sempena pembukaan sesi sidang Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Khir Toyo

Dr Mohamad Khir berkata, semua wakil rakyat BN dan UMNO juga perlu memainkan peranan lebih berkesan dan bijak termasuk berani memberikan teguran jika berlaku kesilapan dan kesalahan dari segi tadbir urus serta tata kelola dalam kerajaan sekarang.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu menegaskan, perjuangan UMNO untuk membela nasib dan kebajikan orang Melayu perlu dilihat jelas sekiranya mahu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti berkenaan pada pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) nanti.

"Kalau UMNO gagal berbuat demikian, maka kita akan pupus (UMNO bakal terkubur) selama-lamanya selepas PRN nanti.

"Yang paling penting sekarang ialah semua wakil rakyat UMNO meneruskan perjuangan membela agama (alif), bangsa (ba) dan tanah air (ta).

"UMNO tidak boleh lari daripada memperjuangkannya kerana kita bukan hanya disokong tiga juta ahli UMNO, malah majoriti rakyat terutama orang Melayu di negara ini.

"Selagi kita terus memperjuangkan kepentingan alif, ba, ta tanpa mengabaikan hak dan kepentingan kaum dan agama lain, maka saya rasa tiada masalah besar akan timbul,” katanya.

Tegasnya, UMNO perlu bijak memainkan peranan jika mahu dilihat oleh penyokong parti dan pengundi di luar sana bahawa mereka masih relevan biarpun kini menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar yang turut disertai DAP, PKR dan Amanah.

Yakin UMNO teguh di belakang Anwar

Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menegaskan, beliau yakin UMNO kekal berdiri teguh di belakang kepimpinan Anwar di saat susah dan senang sehingga tamat tempoh penggal Parlimen ke-15.

Mustapha berkata, semua ahli Parlimen UMNO dan BN tidak akan terbabit dengan gerakan menjatuhkan Anwar dan menubuhkan ‘kerajaan tebuk atap’ yang dikatakan sedang dirancang oleh pihak tertentu.

"Saya melihat kemungkinan besar wujud gerakan mahu menjatuhkan Anwar selaku Perdana Menteri didalangi oleh ahli Parlimen pembangkang dan bukannya wakil rakyat UMNO yang kini sebahagian Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Justeru, semua ahli Parlimen BN dan UMNO serta parti komponen kerajaan perlu memberi fokus untuk membantu Anwar mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara, menstabilkan harga barang dan menangani kenaikan kos sara hidup dihadapi rakyat sekarang.

"Kita berharap tiada lagi cerita tidak puas hati, usaha menjatuhkan kerajaan dan kenyataan dikeluarkan pemimpin tertentu daripada parti komponen kerajaan yang bersifat perkauman,” katanya.

Sebelum ini, Ramasamy mendesak Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Anwar melakukan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam agar ia tidak lagi didominasi oleh satu kaum.

Bagaimanapun, kenyataan itu mengundang pelbagai kritikan daripada parti kerajaan mahupun pembangkang, malah Anwar juga menegaskan bahawa kerajaannya sama sekali tidak akan mengikut saranan dibuat Ramasamy.

Klik di sini untuk terus membaca