SUSAH jadi pemimpin. Hidupnya macam artis juga. Gerak-geri diperhati, tutur kata diamati. Tetapi jika diperhalusi, menjadi artis sebenarnya lebih mudah. Walaupun tindak-tanduk menjadi tumpuan namun pada penghujungnya mereka lebih bebas bertindak.
Hendak pakai pakaian yang mencolok mata dan mengangakan mulutkah, hendak sambut hari jadi setahun lapan kalikah, hendak berkahwin di Siamkah, hendak riuh rendahkan hal rumah tangga sendiri di media sosialkah, tidak menjadi masalah.
Orang boleh mengutuk, netizen boleh mengata, tetapi si artis boleh buat selamba dan pekakkan telinga sebab ‘dia tak minta makan minum daripada sesiapa.’
Pemimpin, apatah lagi yang berjawatan dengan kerajaan, hanya boleh berkata begitu jika dia mahu memendekkan hayat kerjayanya.
Seorang pemimpin, selagi dia masih dalam jawatannya, akan sentiasa dianggap terhutang kepada rakyat. Apa sahaja yang berkaitan dengan dirinya akan dianggap ada kena-mengena dengan rakyat.
Sebaik sahaja dia diangkat naik atau menerima jawatan yang diberi, maka dengan sendiri hak peribadinya akan tinggal dua tiga peratus sahaja. Silap-silap cuma tinggal hak untuk menggosok gigi dan hak ke bilik air. Hak tidur dan hak makan pun akan menjadi hak rakyat.
Tidur dalam majlis, rakyat persoal. Makan terlajak mewah sikit, rakyat tularkan. Padahal kalau jadi orang biasa, hendak tidur sambil berdiri atau hendak makan sekali dua tiga kawah pun tidak ada orang peduli.
Rakyat pula dalam hal mengawal gerak-geri pemimpin memang luar biasa kebolehannya. Benda sebesar hama pun mereka nampak.
Pantang silap, akan diungkit merekalah yang bayar gaji, merekalah yang bagi kedudukan. Padahal semasa mengundi, mereka mungkin pangkah orang lain!
Ada kawan saya, ahli perniagaan yang saya anggap berjaya kerana hutangnya dengan bank berpuluh-puluh juta. Kalau dia tidak berjaya, tentulah bank tidak akan percaya kepadanya sehingga memberikan hutang sebegitu banyak.
Yang menariknya tentang kawan saya ini ialah semua kakitangan syarikatnya terdiri daripada kaum keluarga dan sahabat handainya.
Isterinya, anak-anaknya, bapa mentuanya, bapa saudaranya, adik iparnya, malah jiran kepada jiran bapanya, semuanya makan gaji dengan dia. Mereka mengisi semua jawatan utama.
Hanya pekerja-pekerja bawahan sahaja diisi oleh orang-orang yang saya yakin tiada hubungan persaudaraan dengannya sebab kesemuanya dari Bangladesh dan Nepal.
Saya tidak boleh bayangkan apa akan jadi jika kawan saya itu ahli politik yang makan gaji dengan kerajaan. Mungkin baru terdetik sahaja di hatinya hendak mengambil anak isterinya bekerja, dia sudah diserang kiri kanan, terutama oleh perwira-perwira depan skrin, termasuk jenis yang duit top-up pun minta daripada emak.
Tengoklah apa yang jadi pada perdana menteri kita dan speaker Dewan Rakyat baru-baru ini. Kedua-duanya diserang bertubi-tubi kali susulan tindakan mereka mengambil anak sendiri bekerja dengan mereka.
Yang diambil bekerja itu pula bukanlah tidak berkelayakan, bukan jenis yang berhenti sekolah setakat darjah lima, bukan yang eja nama sendiri pun jadi nama orang lain. Mereka bukan setakat layak, malah lebih daripada layak untuk ditempatkan pada kedudukan yang diberi.
Tetapi mereka dianggap tidak layak hanya disebabkan mempunyai pertalian darah dengan ‘bos’ mereka.
Selalunya hujah yang diberi oleh pengkritik dalam hal begini adalah tentang legally right but morally wrong. Maksudnya, memang tindakan itu (mengambil anak atau saudara mara terdekat bekerja) tidak salah dari segi undang-undang, namun dari segi moral ia boleh dipersoalkan. Yang menariknya, yang berhujah itu kadang-kadang sentiasa legally wrong and morally wrong.
Apa pun, kepada sahabat-sahabat di pentas politik, apatah lagi yang berstatus pemimpin dan berjawatan dalam kerajaan, berhati-hatilah dalam hal seperti ini.
Memang betul, kita harus bersikap profesional. Mereka yang layak wajar diberi tempat. Sangatlah tidak adil jika peluang mereka dinafikan hanya kerana mereka bersaudara dengan kita.
Dan dalam berurusan juga tidak timbul soal abang adik, anak bapa, mak long pak long dan sebagainya. Semuanya kita boleh lakukan secara profesional juga.
Tetapi masalahnya yang di sekeliling kita, yang memerhati, yang menanti untuk mengata pun ‘profesional’ juga.
Celupar mereka bertaraf antarabangsa, jenuh kalau dibawa berbantah. Jadi daripada memberi bola tanggung pada mereka, lebih baiklah bagi idea kepada rakyat bagaimana hendak berbelanja secara ‘rahmah’ ketika harga barang terus ‘tak rahmah’...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca