DAMSYIK - Kumpulan bantuan dan pakar kesihatan awam memberi amaran bahawa gegaran susulan akan memburukkan lagi wabak taun di Syria yang pertama kali dikesan tahun lalu. Amaran itu dikeluarkan ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) di... Klik di sini untuk terus membaca

DAMSYIK - Kumpulan bantuan dan pakar kesihatan awam memberi amaran bahawa gegaran susulan akan memburukkan lagi wabak taun di Syria yang pertama kali dikesan tahun lalu.

Amaran itu dikeluarkan ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kedua-dua wilayah yang dikuasai pembangkang dan kerajaan di Syria dihentikan, sementara harapan untuk menemui mangsa terselamat di Turkiye semakin tipis.

Sebelum gempa bumi dahsyat melanda Syria pada 6 Februari lalu, negara dilanda konflik berpanjangan itu telah berdepan krisis makanan yang mencengkam, sistem penjagaan kesihatan yang runtuh serta kekurangan akses kepada air bersih selain sanitasi yang buruk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekitar 5.6 juta penduduk di Syria kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka ranap dalam bencana minggu lalu.

"Lebih separuh daripada penduduk Syria bergantung kepada sumber air alternatif yang tidak selamat dan sudah tentu situasi ini meningkatkan lagi kerentanan kepada penyakit bawaan air yang merebak dengan cepat seperti taun," ujar Ketua Komunikasi untuk Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Eva Hines.

Gegaran susulan telah mewujudkan keadaan seperti paya yang dikhuatiri menjadi tempat penyebaran penyakit dan jangkitan.

Pada September tahun lalu, kerajaan rejim Bashar al-Assad mengisytiharkan wabak taun di beberapa wilayah di Syria dengan sejumlah besar kes wabak itu telah dikesan di Raqa dan Deir Ezzor.

Kementerian Kesihatan Syria turut memaklumkan bandar Aleppo yang pernah dikuasai pembangkang serta Hasakah adalah antara kawasan yang terjejas teruk.

Secara umum, taun atau kolera adalah penyakit jangkitan bakteria Vibrio cholerae berpunca daripada makanan atau air tercemar dan mengakibatkan mangsa mengalami cirit-birit serta muntah.

Ia boleh merebak dalam kawasan penempatan yang kekurangan rangkaian kumbahan sewajarnya atau bekalan air utama untuk minuman.

Antara gejala lain adalah kadar nadi dan degupan jantung yang laju, kulit kering, terlalu dahaga, kurang kencing, kekejangan abdomen, loya dan lain-lain.

Gejala muncul beberapa jam hingga lima hari selepas terdedah kepada jangkitan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) percaya bahawa orang ramai terdedah kepada wabak taun selepas minum air di Sungai Euphrates yang semakin kering.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR), penyakit itu merebak di bahagian barat Deir Ezzor selepas pihak berkuasa tempatan didakwa berhenti mengedarkan klorin ke stesen pam air.

Kumpulan berpangkalan di Britain itu yang mempunyai rangkaian kerja luas dengan sumber di Syria, mendakwa ratusan penduduk di kawasan tersebut mengadu sakit kepala, cirit-birit dan muntah.

Gegaran kuat pada 6 Februari lalu telah menyebabkan banyak kematian dan skala kemusnahan besar di Syria.

Kemelut perang saudara selama lebih sedekad telah memusnahkan infrastruktur pengairan dan pembetungan di Syria.

Peperangan itu membinasakan dua pertiga daripada loji rawatan air, separuh daripada stesen pam dan satu pertiga daripada menara air di seluruh negara.

Akibatnya, hampir separuh daripada penduduk Syria terpaksa bergantung pada sumber air alternatif yang lazimnya tidak selamat, manakala sekurang-kurang 70 peratus kumbahan tidak dirawat.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), setakat 18 Januari lalu hampir separuh daripada 77,500 kes taun di negara itu berada di wilayah barat laut yang kini berubah menjadi padang jarak padang terkukur akibat gempa bumi berkekuatan 7.8 magnitud yang turut melanda 10 wilayah di Turkiye.

OCHA turut memberi amaran lebih 2.1 juta penduduk yang tinggal di daerah kecil dan padat di barat laut Syria berisiko dijangkiti wabak taun. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca