TITAH Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri terakhir sehingga tamat penggal pemerintahan Seri Paduka pada 30 Januari tahun hadapan,... Klik di sini untuk terus membaca

TITAH Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri terakhir sehingga tamat penggal pemerintahan Seri Paduka pada 30 Januari tahun hadapan, tidak boleh dipandang ringan.

Ini kerana sepanjang tempoh empat tahun bergelar Yang di-Pertuan Agong ke-16 bermula 31 Januari 2019, Seri Paduka terpaksa menangani pelbagai kekusutan politik negara yang akhirnya menyaksikan baton Perdana Menteri bertukar tangan sebanyak empat kali.

Bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (10 Mei 2018-24 Februari 2020); Tan Sri Muhyiddin Yassin (1 Mac 2020-16 Ogos 2021); Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (21 Ogos 2021-10 Oktober 2022) dan Anwar dari 24 November 2022 hingga kini, selaku Perdana Menteri ke-10 yang mengetuai Kerajaan Perpaduan.

Pensyarah Sosiologi Politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, tanggungjawab kini terletak di bahu Ahli Parlimen Tambun itu untuk melunaskan harapan Seri Paduka yang turut mahukan kestabilan politik dalam membentuk bangsa Malaysia dan era Malaysia baharu yang lebih gemilang.

"Demi mengekalkan posisi selaku Perdana Menteri sehingga tamat penggal pemerintahan Seri Paduka, Anwar perlu memastikan semua rakan politik dalam ‘rumah’ Kerajaan Perpaduan menyingkirkan titik perbezaan dan mencari titik persamaan,” ujar beliau kepada Sinar Premium pada Selasa.

Jelas beliau, mekanisme terbaik dalam mencari titik persamaan itu adalah dengan mewujudkan platform komunikasi untuk setiap isi rumah Kerajaan Perpaduan berbincang secara telus berkenaan semua isu yang boleh menjejaskan survival kerajaan.

"Memang sukar untuk menyatukan pelbagai blok politik yang berbeza ideologi di bawah satu bumbung, namun Anwar perlu memperhebat ruang komunikasi untuk mediasi dan negosiasi agar tiada pihak berasa tercicir atau terlalu selesa.

"Aspek kompromi dan pengorbanan juga perlu dipraktikkan dalam isu yang melibatkan perbezaan pendapat dan kemahuan, sekiranya mahu mengelakkan keretakan besar dalam kalangan rakan politik Kerajaan Perpaduan sekali gus menjamin kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Sivamuragan, berbekal angka sokongan melebihi dua pertiga, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar seharusnya tidak gusar tentang legitimasi kerajaan dan keabsahan beliau selaku Perdana Menteri.

"Kelebihan ini perlu digunakan sebaiknya oleh Anwar untuk membuktikan bahawa beliau dan rakan politik dalam kerajaannya mampu mengemudi negara dalam mengatasi pelbagai masalah termasuk ekonomi dan sosial yang membelenggu rakyat,” katanya.

Menyentuh tentang rakan politik yang membentuk komposisi Kerajaan Perpaduan, pastinya nama Barisan Nasional (BN) paling disebut-sebut, namun sejauh mana signifikan BN dalam memastikan Anwar dapat terus kekal selaku PM10?

"BN berpengalaman mengemudi kerajaan dan memahami kepentingan kestabilan untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

"Namun BN terlebih dahulu perlu menambah baik kekuatan dalaman parti, merencanakan masa depan parti dan melakukan pengukuhan sesama anggota agar dapat membantu meneguhkan kerajaan sedia ada,” kata Sivamurugan.

Beliau turut berkata, keberadaan BN dan blok politik lain adalah amat penting untuk menggembleng kestabilan bersama Kerajaan Perpaduan.

"Setiap daripada blok parti harus terlebih dahulu menjaga keharmonian dan kerukunan parti masing-masing. Ini kerana percakaran dalaman hanya akan mencacatkan imej kerajaan Pusat,” ujarnya.

Sivamurugan juga berpandangan, sekiranya Anwar dan rakan politik dalam Kerajaan Perpaduan dapat melepasi ujian pilihan raya negeri (PRN) kelak, ia bakal meyakinkan rakyat terhadap kredibiliti Anwar memimpin kerajaan gabungan yang berbeza ideologi.

Bimbang terima nasib sama

Bagi Penolong Profesor Sains Politik daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, Anwar harus memastikan semua blok politik dalam Kerajaan Perpaduan berpuas hati dengan pentadbiran beliau.

"Memandangkan kerajaan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum ini tidak dapat bertahan, ada kerisauan bahawa kerajaan pimpinan Anwar ini akan turut menerima nasib sama.

"Bagi mengelak kerisauan itu menjadi realiti dan memastikan setiap blok politik berpuas hati dengan pentadbirannya, Anwar wajar mengambil kira semua sokongan dan rungutan,” kata beliau.

Sementara itu, menjawab persoalan tentang signifikan mengekalkan BN selaku rakan politik dalam Kerajaan Perpaduan, Tunku Mohar menjelaskan, keberadaan blok politik itu sekurang-kurangnya dapat membawa sokongan pengundi Melayu terhadap kerajaan pimpinan Anwar.

"BN juga menjadi salah satu faktor untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada dalam kerajaan Anwar.

"Dengan bersama Anwar, BN dapat membantu menstabilkan kedudukan kerajaan. Pada masa sama, BN boleh mengambil peluang daripada kestabilan politik ini untuk cuba memenangi kembali sokongan pengundi terhadap parti itu,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca