DI sana-sini orang bercakap mengenai Menu Rahmah. Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) memang tepat pada masanya kerana kenaikan harga makanan dan minuman naik... Klik di sini untuk terus membaca

DI sana-sini orang bercakap mengenai Menu Rahmah. Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) memang tepat pada masanya kerana kenaikan harga makanan dan minuman naik mendadak.

Ada restoran biasa yang menjual teh tarik yang berharga RM1.40 kepada RM2 pada hari ini.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menu Rahmah bertujuan supaya golongan B40 khususnya mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.

Dengan harga RM5 dan ke bawah, seseorang boleh mendapat makanan seimbang karbohidrat dan protein.

Kini lebih 15,000 kedai makan melalui tujuh persatuan restoran yang telah menyokong dengan menyediakan menu itu.

Menurut Pak Menteri, pihak IPTA, IPTS dan syarikat-syarikat korporat juga disaran untuk menyediakan menu ini. Rahmah merupakan perkataan Arab yang membawa maksud rasa belas dan kasih sayang. Inilah yang diperlukan oleh rakyat terbanyak.

Khabarnya kedai-kedai francais akan turut menyediakan Menu Rahmah. Ini belum termasuk kedai-kedai makan persendirian yang mengambil bahagian.

Malah, banyak juga kedai makan atau gerai-gerai tepi jalan yang menjual makanan dengan harga yang amat berpatutan sebelum pun program ini bermula.

Sebenarnya, sesiapa sahaja boleh menikmati menu ini. Ia terbuka kepada semua rakyat tidak kira golongan B40, M40 mahupun T20.

Sesiapa sahaja juga boleh sahaja membuat add-on makanan tambahan daripada Menu Rahmah yang asas asalkan sedia membayar lebih.

Maknanya, pihak peniaga masih berpeluang mendapat keuntungan daripada menu-menu biasa mereka.

Usaha kerajaan memperkenalkan program ini telah memberi kesan sampingan yang positif. Hasilnya, orang ramai tidak terikut-ikut untuk makan sebanyak-banyaknya sementelah ada pihak kedai suka menyediakan portion hidangan yang melebihi daripada yang sepatutnya.

Pelanggan biasanya akan bayar sahaja harga makanan walaupun kerap tidak larat menghabiskan hidangan. Ini membazir kerana penyediaan portion yang lebih kecil membolehkan makanan dijual kepada lebih ramai pelanggan. Ini akan menjimatkan kos pengeluaran.

Dalam pada itu Menu Rahmah juga membolehkan kedai-kedai menurunkan harga makanan secara berkelompok. Sebagai etika dan adab, seseorang peniaga juga perlu menjaga hati kedai-kedai makan yang berhampiran.

Harga murah oleh sesebuah kedai akan menyebabkan kedai-kedai lain berasa hati kerana bimbang pelanggannya akan pergi ke kedai yang menurunkan harga.

Apabila semua kedai menurunkan harga secara sepakat melalui program ini, ia tidak akan menjejaskan para pelanggan masing-masing.

Namun apa yang menarik ialah kesan ‘konsep rahmah’ itu sendiri. Kita dapati ia boleh menjadi satu formula kasih sayang kepada perniagaan-perniagaan lain.

Sudah ada klinik yang akan menyediakan preskripsi rahmah. Mereka sedia mengetepikan kos konsultasi dan ubat-ubat asas bagi golongan B40.

Jika konsep belas kasih ini dihayati, banyak lagi perniagaan yang boleh menurunkan harga masing-masing. Kedai pakaian, alat solek, alat ganti, DIY, kedai IT dan secara praktiknya perniagaan berbentuk perkhidmatan boleh memberi pakej rahmah.

Dalam keadaan ekonomi yang kian membesarkan bocor di saku, golongan peniaga perlu memperbanyakkan pakej-pakej barangan dan perkhidmatan yang boleh diberikan diskaun. Semua peniaga pada asasnya ingin membuat untung yang tinggi.

Jika tidak boleh untung tinggi, mereka sedia untuk mendapat untung yang rendah. Andai tidak boleh juga, tidak untung pun tidak mengapa asalkan barangan habis dan barangan baru boleh dibeli supaya kedai tampak berseri dengan barangan baharu.

Pekedai perlukan pelanggan sepertimana pelanggan perlu mendapatkan barangan dan perkhidmatan di kedai.

Kedua-dua pihak saling bergantung. Dan, semua peniaga mahir membaca pelanggan manakah yang sedia tabur duit dan pelanggan mana yang amat memerlukan sesuatu barangan itu.

‘Ber-rahmahlah’ iaitu layanilah pelanggan dengan rasa belas kasihan.

Berikan diskaun dengan niat bersedekah. Nanti bisnes akan sentiasa bermaya.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca