SHAH ALAM - Laporan bersiri eksklusif Sinar Harian berkenaan pendedahan kewujudan sindiket penipuan pekerjaan dan pemerdagangan rakyat Malaysia di luar negara terutama Myanmar pada minggu lalu, mendapat perhatian serius kerajaan. Sehubungan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Laporan bersiri eksklusif Sinar Harian berkenaan pendedahan kewujudan sindiket penipuan pekerjaan dan pemerdagangan rakyat Malaysia di luar negara terutama Myanmar pada minggu lalu, mendapat perhatian serius kerajaan.

Sehubungan itu, Kementerian Luar Negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, jawatankuasa khas itu diketuai oleh beliau sendiri dan Wisma Putra, manakala disokong pelbagai agensi kerajaan berkaitan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Peguam Negara serta beberapa agensi berkaitan.

"Antara bidang kuasa jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan bagi menangani isu jenayah penipuan tawaran pekerjaan melibatkan rakyat Malaysia di luar negara ialah dengan membuat penyiasatan dan pendakwaan terhadap individu-individu yang terlibat dengan sindiket berkenaan.

"Bagaimanapun, ia terbatas kepada rakyat Malaysia yang disyaki terlibat mendalangi sindiket jenayah itu. Bagi sindiket jenayah di Myanmar, Kementerian Luar Negeri mengharapkan kerjasama daripada negara tuan rumah agar mereka yang menjadi dalang jenayah itu dapat dibawa ke muka pengadilan,” ujar Zambry kepada Sinar Premium secara eksklusif pada Rabu.

Zambry
Zambry
Zambry

Mengenai kemungkinan halangan dihadapi Wisma Putra dan jawatankuasa khas tersebut, Zambry menjelaskan, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Myanmar sememangnya berhubung secara kerap dengan pihak berkuasa di negara terlibat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Setakat ini, katanya, pihak berkuasa di Myanmar memberi kerjasama baik, namun kekangan utama dihadapi mereka ialah dalam menentukan keberadaan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa.

"Ini kerana mereka memasuki Myanmar secara haram tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan sah yang boleh dirujuk.

"Selain itu, situasi semasa di Myanmar yang boleh mengancam keselamatan pihak berkuasa seperti di sekitar Myawaddy juga menyukarkan pihak berkuasa negara tersebut dalam usaha membantu rakyat Malaysia terlibat,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi mengelak isu penipuan pekerjaan di luar negara berulang, Zambry menasihatkan rakyat Malaysia agar sentiasa berwaspada sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan di luar negara.

"Latar belakang syarikat yang menawarkan pekerjaan juga sewajibnya disemak terlebih dahulu termasuk dengan pihak-pihak berwajib di negara tuan rumah,” tegas beliau.

Pada 10 Februari lalu, wartawan Sinar Harian, Mukhriz Mat Husin menyertai misi menyelamat lima rakyat Malaysia yang diperdaya sindiket tawaran pekerjaan luar negara di Myawaddy, Myanmar.

Zambry bersalaman dengan anggota dan pegawai pasukan Smart yang dihantar membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye, pada Isnin.

Misi tersebut turut membongkarkan modus operandi yang lebih mengejutkan apabila sindiket turut menjalankan aktiviti pemerdagangan manusia dan kini menyasarkan belia Malaysia terutama remaja Melayu.

Berikutan itu, lima pencari kerja rakyat Malaysia berusia 19 hingga 25 tahun yang mendakwa diperdayakan dan dipaksa bekerja dalam sindiket penipuan siber, diselamatkan serta kini berada di Thailand untuk dibawa pulang.

Difahamkan, lebih 1,000 rakyat negara itu masih terperangkap di negara berkenaan dan mengharapkan bantuan kerajaan untuk diselamatkan.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan akan memperketatkan undang-undang bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia terperdaya dengan taktik sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Ujar Perdana Menteri, selain aspek perundangan yang akan dilihat Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, PDRM juga akan mengambil langkah untuk tujuan sama.

Sementara itu, PDRM berjaya menyelamatkan seramai 218 warga tempatan yang terkandas di luar negara dan dipercayai menjadi mangsa jenayah penipuan kerja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, jumlah itu berdasarkan statistik yang direkodkan sejak tahun lalu hingga Januari lepas.

Klik di sini untuk terus membaca