BARU-baru ini saya bertemu seorang teman lama yang kini menetap di Ipoh, Perak dan berkecimpung dalam perniagaan membuat kek.
Dia mengeluh, betapa mudah orang memberi komen jika harga barang mahal, jangan beli barang tersebut atau cari alternatif lain yang lebih murah.
Tetapi bagaimana jika barang yang dia mahukan itu diperlukan untuk membantunya terus mencari pendapatan hidup dan tiada alternatif lain yang boleh digunakan?
Contohnya, sebagai penjual kek, pendapatan hariannya bergantung kepada banyak mana kek yang dijual. Setakat ini permintaan adalah baik kerana dia menjual dengan harga berpatutan.
Tetapi mana mungkin dia boleh terus menjual pada harga rendah sekiranya bahan-bahan untuk membuat kek semuanya melambung tinggi. Lebih membimbangkannya apabila bahan utama untuk membuat kek iaitu telur sukar diperoleh.
Kenaikan kos sara hidup, selain membelenggu masyarakat, ia juga akan menimbulkan masalah sampingan seperti yang saya jelaskan.
Bukan sahaja orang tidak mampu untuk membeli barangan atau makanan tersebut, malah boleh menyebabkan mereka hilang punca pendapatan seperti kes kawan saya jika tidak kena gayanya.
Apakah sebenarnya yang boleh rakyat tahu tentang langkah-langkah penting bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang sebagai panduan untuk mereka turut memainkan peranan membantu kerajaan?
Antara perkara penting yang perlu dijaga oleh pihak berkuasa dengan sokongan pengguna ialah memastikan bekalan secara domestik mencukupi, menetapkan harga siling dan pemantauan secara kerap dilaksanakan penguat kuasa, menggalakkan amalan jimat cermat dalam kalangan pengguna, mengawal aktiviti import dan eksport, mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang melanggar undang-undang dan memudahkan proses aduan daripada pengguna.
Selain itu, pihak berkuasa juga perlu meneliti akar permasalahan yang menyebabkan kurangnya bekalan dalam negara. Hanya dengan kita menyelidiki dan memahami punca sebenar, barulah kita boleh selesaikan masalah dihadapi rakyat.
Dalam konteks tersebut, kita sangat alu-alukan usaha kerajaan hari ini kerana telah meletakkan kos sara hidup sebagai antara fokus utama tanggungjawab sebuah kementerian, yang turut bertanggungjawab kepada per-dagangan dalam negeri.
Maka, usaha untuk mendidik pengguna juga perlu dilipatgandakan oleh kerajaan dan pertubuhan pengguna agar semua pihak dapat memainkan peranan bagi menghadapi pelbagai cabaran ekonomi global.
Sambil kita berbangga dengan teknologi canggih pada abad ke-21 yang membantu tamadun manusia mengecapi kemajuan secara global, kita juga jangan lupa percambahan kemajuan sains dan teknologi hari ini boleh menjadi penyebab persaingan kompetitif antara kuasa dunia untuk menguasai pasaran global.
Kesannya sudah pasti akan berlaku peperangan dingin dan rebutan kuasa sehingga menyebabkan pergolakan ekonomi.
Lihat sahaja implikasi perang Rusia-Ukraine. Kita di Malaysia tidak terkecuali menerima kesan seperti kenaikan harga barang secara khusus dan kos sara hidup secara amnya.
Walaupun kita tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pergolakan dan peperangan tersebut tetapi kita boleh menyusun strategi bagi memastikan rakyat di Malaysia tidak menerima kesannya.
Oleh itu, mustahak untuk kita mengetahui cara menangani kenaikan harga barangan demi kemaslahatan bersama. Syarat utama untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang adalah dengan memastikan bekalan secara domestik sentiasa mencukupi.
Pendidikan asas ekonomi mengajar kita apabila ada permintaan melebihi penawaran, maka akan ada penjual mengambil kesempatan menaikkan harga dan menjual kepada mereka yang sanggup membayar pada harga tinggi untuk bekalan yang terhad.
Bagi mengelak kenaikan harga dan pembekal tidak menaikkan harga ketika permintaan meningkat, kita perlu tentukan bekalan sentiasa ada.
Kerajaan boleh memastikan negara kita mempunyai stok penimbal kepada bahan-bahan makanan yang lazimnya akan naik harga pada musim tertentu.
Sebagai contoh, menjelang musim perayaan, harga daging dan ayam akan naik, maka pihak berkuasa boleh membenarkan jumlah import masuk bekalan daging dan ayam lebih banyak berbanding waktu biasa. Itu antara usaha yang saya pasti telah pun dilaksanakan pak menteri. Menu Rahmah misalnya, adalah satu lagi inisiatif yang baik.
Moga kita dapat memperkenalkan lebih banyak lagi inisiatif yang akan membantu rakyat terbanyak di negara ini.
* Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff ialah Pengarah di UM LEAD, Universiti Malaya. Beliau pernah menjadi Felo Utama di KITA, UKM, Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca