SHAH ALAM - Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyelamatkan lebih 1,000 rakyat Malaysia yang masih ‘ditawan’ sindiket penipuan pekerjaan di luar negara termasuk Myanmar.
Beliau yang baru pulang dari misi menyelamat lima rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan berkenaan menyambut baik langkah kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani masalah tersebut, malah sedia memberi maklumat terperinci kepada pihak berkuasa.
"Langkah kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas ini bagus. Kita memang perlu membawa pulang semua rakyat Malaysia yang ditahan, diseksa dan didera oleh sindiket berkenaan, walaupun ada segelintir mangsa yang mahu terus berada di sana.
"Kerajaan mesti menyelamatkan mereka secepat mungkin kerana sebahagian besar daripada mangsa dipaksa menjadi scammer. Saya difahamkan ketika ini terdapat lebih 1,000 rakyat Malaysia yang masih ditahan sindiket penipuan berkenaan di luar negara termasuk di Myanmar.
"Saya sedia memberi kerjasama penuh termasuklah menyalurkan maklumat lengkap kepada pihak berkuasa,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Premium pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum itu bagaimanapun menegaskan, beliau hanya akan memberi maklumat dan tidak terlibat lagi dengan misi menyelamat kerana tugas tersebut sangat berbahaya.
Menurutnya, usaha menyelamatkan lima rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang terkandas di Myanmar baru-baru ini adalah misi terakhir baginya.
Bagaimanapun, ia bukanlah kali pertama Chon Siang berkata demikian kerana sebelum ini pun pernah menyatakan hasrat sama.
Difahamkan, kelima-lima rakyat Malaysia berkenaan dipercayai diseludup masuk menerusi Thailand ke KK Garden yang juga dikenali sebagai Garden Of Hell di Myanmar atau ke negara-negara lain.
Kongsi Chong Siang kepada wartawan, beliau menyatakan harapan agar misi pada 3 hingga 7 Februari lalu sebagai penutup kepada pembabitan secara tidak sengaja dalam usaha menyelamatkan anak muda Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di luar negara.
Menurut Chong Siang, penglibatannya dalam misi tersebut sejak setahun lalu itu pada mulanya memberi satu kepuasan, namun kini sudah mulai penat dari segi mental dan emosi, juga faktor kewangan.
"Dalam tempoh setahun ini, saya berulang-alik dari Malaysia ke Thailand berpuluh-puluh kali. Semuanya menggunakan perbelanjaan sendiri bagi menyelamatkan belia Malaysia yang percaya mereka akan dibayar gaji lebih RM4,000 sebulan walaupun sebagai pekerja tidak berkemahiran,” ujar Chong Siang.
Klik di sini untuk terus membaca