MINGGU lalu, tiga insiden telah berlaku antara rakyat biasa yang mengingatkan kita tentang cabaran yang sentiasa menguji kekuatan dan keteguhan Malaysia dalam hubungan rentas kaum/agama.
Dalam kes-kes tersebut, seorang pendakwah bebas menghina upacara agama orang lain sebagai ‘sembah syaitan’, seorang guru didakwa mengajak pelajarnya menukar agama untuk menyertai pasukan bola sepak negara, sementara seorang pemain badminton menyalahkan satu kaum lain untuk kelemahan sukan tanah air.
Nyata sekali, ketiga-tiga individu berkenaan tidak boleh menjadi ‘sampel’ yang dapat mewakili golongan agama, kaum atau bidang pengkhususan mereka, seperti kita tidak boleh melihat rakyat Sweden sebagai anti-Islam semata-mata kerana beberapa puluh orang biadab sanggup membakar kitab suci komuniti lain.
Bagaimanapun, kita juga tidak boleh memandang ringan sehingga ungkapan atau perbuatan yang membawa kelukaan dan kesengsaraan kepada orang lain ditoleransi menjadi norma.
Salah satu cadangan yang dikemukakan adalah penggubalan akta anti-kebencian atau akta keharmonian kaum dan agama atau sebarang nama lain.
Akta tersebut akan mengharamkan ungkapan dan perbuatan kesat bertujuan menghina dan menggalakkan ‘kebencian kelompok’ terhadap mana-mana golongan masyarakat semata-mata kerana mereka adalah ahli dalam golongan tersebut.
Akta Hasutan sekarang terlalu ketat dan terlalu subjektif sehingga ia boleh disalahgunakan untuk menyekat wacana yang perlu.
Akta baharu itu boleh menggantikannya dan membawa isyarat yang kuat bahawa kebencian tidak ada tempatnya di bumi Malaysia.
Semoga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman dan rakan-rakannya mengambil perhatian isu tersebut.
Namun, lebih daripada sekatan dan hukuman undang-undang, kita perlu ada naratif serta kerangka konsep yang menggalakkan semangat kekitaan merangkumi semua rakyat Malaysia, malah insan yang bukan warganegara sekalipun.
Keperluan itu selalunya mengundang dua jenis respons.
Pertama, keterangkuman dan hak asasi manusia adalah konsep Barat, jika diterima bermakna kita gadaikan jati diri.
Kedua, kesamarataan atau keterangkuman hanya boleh berlaku selepas kita mencapai kesamaan yakni golongan minoriti diasimilisasikan.
Kedua-dua pandangan itu gagal memanfaatkan kekayaan dalam peradaban Nusantara dan Islam.
Nusantara bersifat terbuka terhadap kepelbagaian seperti kita menghargai rempah ratus dalam masakan. Mana-mana rempah pun, kalau sejenis sahaja ada hadnya.
Daripada ungkapan ‘rahmatan lil alamin’, kita tahu Islam tidak mengehadkan rahmatnya kepada sesuatu kaum atau umat.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad dan rakan-rakan lain pernah menerangkan kepada saya bahawa surah Al-Hujurat adalah mengenai pembezaan manusia supaya kita saling mengenali.
Ia membawa maksud yang besar bahawa walaupun kita bukan saudara seiman, kita tetap saudara sewatan dan saudara dalam kemanusiaan.
Di sinilah saya percaya gagasan Malaysia Madani boleh memainkan peranan besar dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang gemilang.
Konsep kewarganegaraan yang terangkum itu boleh dibudayakan untuk menggantikan mentaliti pembahagian kelas antara Muslim dan bukan Muslim.
Marilah kita bersama-sama menjayakan Malaysia sebagai negara Madani yang ‘rahmah’, terangkum dan merealisasikan sepenuhnya ‘rahmatan lil alamin.’
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway
Klik di sini untuk terus membaca