SHAH ALAM - Pakar ekonomi menjangkakan sektor pertanian negara menjadi antara fokus utama kerajaan dalam Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini. Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar ekonomi menjangkakan sektor pertanian negara menjadi antara fokus utama kerajaan dalam Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, sektor pertanian memainkan peranan kritikal dalam memastikan keterjaminan pengeluaran makanan negara.

"Tidak dinafikan kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada sektor lain dalam negara seperti sektor pembuatan dan perkhidmatan, namun sektor pertanian wajar diberi perhatian khusus agar produktiviti pengeluaran makanan dalam negara ditingkatkan. Ia adalah untuk memenuhi permintaan dan kestabilan harga bekalan makanan,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Muhammad Daaniyall
Muhammad Daaniyall

Beliau turut menjangkakan lebih banyak peruntukan diberi bagi mengadakan program peningkatan sekuriti makanan negara yang berorientasikan pertanian moden, selain insentif kepada pelabur sama ada dalam atau luar negara yang berminat menceburi sektor pertanian berteknologi tinggi.

Terdahulu, Bajet 2023 membabitkan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion telah dibentangkan oleh bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 Oktober 2022.

Namun, ia terpaksa dibentangkan semula susulan pertukaran kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri ke-10 merangkap Menteri Kewangan.

Menurut Anwar, Bajet 2023 yang dibentangkan semula itu tidak akan terikat dengan bajet terdahulu, bagaimanapun cadangan yang telah dibuat akan tetap diambil kira dalam Bajet 2023 yang baharu.

B40 dan M40

Muhammad Daaniyall turut menjangkakan, kerajaan akan mempertimbangkan bantuan untuk golongan M40 ke bawah yang bersempadanan dengan kategori B40 seperti M10 atau M20 pada pembentangan bajet kali ini.

"Jika dilihat bajet yang sebelum ini, golongan berkenaan tidak mendapat sebarang bantuan secara langsung kecuali dalam bentuk insentif potongan cukai.

"Bagaimanapun, harus diingat bahawa tekanan turut dirasai golongan ini berikutan kenaikan inflasi dan kos sara hidup,” katanya lagi.

Satu lagi segmen yang dijangka terus diberi perhatian dalam pembentangan Bajet 2023 adalah perusahaan kecil sederhana (PKS) yang merupakan tulang belakang dalam pertumbuhan ekonomi negara.

"Bantuan mungkin diberi dalam bentuk geran, pengecualian duti setem atau inisiatif yang mampu menambah baik dan meningkatkan daya saing PKS.

"Langkah proaktif seperti usahasama dengan pihak bank tempatan juga boleh diusahakan agar sektor PKS mempunyai ruang yang cukup untuk mengembalikan momentum pertumbuhan,” katanya lagi.

Tidak ketinggalan, sektor pendidikan dijangka turut mendapat perhatian kerajaan dalam Bajet 2023.

"Peruntukan mungkin lebih terarah untuk pembinaan infrastruktur sekolah terutama di luar bandar agar lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Sementara itu, Fellow Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar berkata, Bajet 2023 perlu fokus menangani kelembapan ekonomi dan pengurusan hutang negara.

Shankaran Nambiar
Shankaran Nambiar

"Kelembapan ekonomi secara ketara menjejaskan pendapatan isi rumah terutama daripada kategori B40 dan juga perusahaan kecil sederhana (PKS).

"Tidak ketinggalan, ia turut menyumbang kepada isu pengangguran,” ujar beliau.

Jelas Shankaran, intipati Bajet 2023 juga harus mencerminkan komitmen jitu kerajaan untuk menguruskan isu hutang dan liabiliti negara yang dilaporkan kini mencecah RM1.5 trilion.

"Bajet yang akan dibentangkan semula ini perlu memberi indikator bahawa kerajaan mempunyai strategi untuk mengurangkan hutang negara selain mengurangkan defisit fiskal,” katanya.

Berkenaan bentuk bantuan yang mungkin diumumkan dalam pembentangan bajet kali ini, Shankaran membayangkan beberapa inisiatif.

"Mungkin boleh dipertimbangkan untuk buka kedai runcit kos rendah di mana kerajaan memberi subsidi sayur-sayuran, minyak masak, daging dan lain-lain dalam kuantiti terhad untuk kumpulan ekonomi tertentu.

"Untuk membantu PKS, mungkin kerajaan boleh memberi bantuan untuk mengadaptasi teknologi digital supaya lebih berdaya saing,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, bagi memenangi sokongan penjawat awam, Shankaran menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus khas sempena sambutan hari raya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan skim keselamatan sosial yang komprehensif sebagai alternatif kepada isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Isu pengeluaran KWSP memerlukan solusi yang lebih mampan berikutan kita tidak mampu menampung pengeluaran secara kerap,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca