AL-ATARIB - Keadaan di kawasan barat laut Syria yang didiami jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal akibat peperangan bagai dilanda garuda sejak dilanda gempa pada minggu lalu. Penduduk di bandar al-Atarib mendakwa mereka seperti orang... Klik di sini untuk terus membaca

AL-ATARIB - Keadaan di kawasan barat laut Syria yang didiami jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal akibat peperangan bagai dilanda garuda sejak dilanda gempa pada minggu lalu.

Penduduk di bandar al-Atarib mendakwa mereka seperti orang hilang arah kerana tiada bantuan dihantar kepada komuniti tersebut walaupun selepas beberapa hari bencana dahsyat itu berlaku dan meragut lebih 3,000 nyawa.

Mereka mendakwa seperti disisihkan negara antarabangsa.

Ramai penduduk kembali semula ke kediaman masing-masing yang telah runtuh untuk mencari barangan berharga termasuk dokumen pengenalan diri yang mungkin dapat diselamatkan.

Pasukan penyelamat tempatan juga mengeluh kerana mereka berdepan kekangan untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tanpa bantuan daripada pihak luar.

Operasi SAR bersama kelengkapan jentera berat didakwa lebih tertumpu di kawasan terjejas gempa di Turkiye.

"Kami tidak berdaya,” ujar anggota White Helmets, Ali Obeid yang mengetuai usaha menyelamat tersebut.

Bagi merayu bantuan segera, sekumpulan penunjuk perasaan turut mengadakan protes mengecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kebanyakan daripada mereka mempertikaikan bantuan yang sukar dihantar ke kawasan tersebut berbanding Turkiye yang mendapat sokongan berterusan daripada negara antarabangsa.

Perang saudara yang berlarutan selama 12 tahun telah meletakkan negara itu di bawah zon kawalan yang berbeza.

Al-Atarib yang berada di bawah kawalan kumpulan penentang Presiden Bashar al-Assad menyebabkan situasi menjadi lebih sukar termasuk pengagihan bantuan kemanusiaan sejak minggu lalu.

"Waktu semakin suntuk, kami hanya menggunakan tangan untuk menggali kerana tiada peralatan yang mencukupi bagi mengeluarkan mangsa di bawah runtuhan,” jelas Obeid.

Kurang peralatan

PBB bagaimanapun memberi alasan lintasan sempadan tunggal yang sepatutnya digunakan untuk menghantar bantuan ke kawasan kumpulan pemberontak kononnya tidak boleh diakses kerana laluan itu telah musnah.

"Pertubuhan antarabangsa tidak tampil ketika malapetaka itu berlaku. Apa fungsi mereka sebagai agensi yang menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas terutamanya di kawasan yang bermusuhan dengan Assad?” soal Obeid lagi.

Beliau turut mengimbau semula kejadian pada hari gempa itu berlaku.

Dia bersama beberapa rakannya sedang memandu di al-Atarib ketika dihampiri seorang lelaki yang berlari ke arah mereka sambil menangis kerana keluarganya terperangkap di bawah runtuhan.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa apabila melihat bangunan empat tingkat itu terlibat runtuhan penkek (pancake collapses). Pada mulanya, kami tidak yakin jika dapat menyelamatkan mereka. Operasi itu akhirnya berjaya,” jelasnya lagi.

Beberapa penduduk di al-Atarib terpaksa menggunakan tangan untuk menggali runtuhan.

White Helmets juga kecewa dengan janji yang dibuat Barat yang mahu menyalurkan bantuan, namun tidak ditunaikan sehingga kini.

"Kami amat memerlukan peralatan menyelamat kerana kira-kira 60 peratus kawasan masih tidak boleh diakses,” tegas Timbalan Ketua White Helmets, Muneer Mustafa.

Difahamkan, PBB hanya menghantar konvoi bantuan pertama pada Khamis.

Jurucakap puak pemberontak di wilayah barat laut Syria, Muhammad al-Omar bagaimanapun menyelar keputusan penghantaran bantuan dari lintasan sempadan dengan Turkiye di kawasan yang dikawal kerajaan.

"Agensi antarabangsa perlu peka dengan penolakan populasi di kawasan ini terhadap sebarang bantuan daripada ‘rejim jenayah’.

Kebanyakannya adalah mereka yang hilang tempat tinggal kerana kempen pengeboman tentera rejim Assad,” katanya.

Operasi SAR di seluruh kawasan barat laut Damsyik sudah memasuki fasa akhir dan misi utama kini beralih kepada usaha pembersihan sisa runtuhan dan membantu penduduk membina semula kehidupan mereka.

Tahir Muhammad, 53, yang kehilangan anak perempuan dan ibunya memberitahu dia langsung tidak terkilan dengan bantuan yang kurang diterima daripada komuniti antarabangsa.

"Kami sentiasa ada untuk membantu antara satu sama lain. Ia lebih bermakna berbanding bantuan asing,” ujarnya sambil menambah dia berhutang nyawa dengan jiran yang bersusah-payah menyelamatkannya sebelum bangunan kediaman mereka runtuh. - Agensi


Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/

Klik di sini untuk terus membaca