SHAH ALAM - Tindakan tegas termasuk memecat penjawat awam yang tidak bertanggungjawab dalam mengurus sumber perolehan negara perlu dilakukan bagi membendung berlakunya lagi kerugian dana awam pada masa akan datang, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), K Sudhagaran Stanley.
Katanya, masalah ketirisan dan salah urus di negara ini sangat serius menyebabkan negara mengalami kerugian yang besar.
Untuk itu, kata Sudhagaran sudah tiba masanya tindakan yang lebih tegas diambil bagi mengelak perkara sama berulang.
"Kita mesti menghentikan perkara ini. Mesej serius mesti dihantar kepada semua agensi kerajaan bahawa ketirisan dan pembaziran tidak boleh diterima lagi.
"Ambil tindakan segera dakwa mereka yang terlibat, tamatkan perkhidmatan dan senaraihitamkan kontraktor, ejen, organisasi yang terlibat dalam pembaziran dana awam ini," katanya.
Dalam pada itu Sudhagaran turut menyarankan supaya kerajaan segera membentangkan Rang Undang-Undang Perolehan untuk mengawal perolehan kerajaan.
"Sistem atau dasar semasa tidak berkesan. Apa yang kita perlukan ialah perundangan yang lebih komprehensif dalam menangani isu yang serius ini," katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan juga mesti membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman bagi menangani isu berhubung penjawat awam.
"Sudah tiba masanya kita membawa negara kita ke hadapan dengan menuntut profesionalisme dan integriti tahap tinggi dalam kalangan penjawat awam kita.
"Kedua-dua rang undang-undang yang disebut itu adalah sebahagian daripada rancangan Pelan Antirasuah Nasional. Penyelidikan dan perundingan telah dibuat di bawah pentadbiran sebelum ini, tetapi mereka tidak mempunyai ' kemahuan politik' untuk membentangkannya. Semua mata dan harapan kini ada pada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang, untuk beliau tidak melengahkan lagi pembentangan rang undang-undang ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh turut senada dengan Sudhagaran yang berpandangan tindakan yang lebih serius, tegas dan efektif perlu digunakan supaya penjawat awam yang melakukan kesalahan serta pecah amanah dikenakan tindakan.
"Sekiranya tiada tindakan serius yang diambil oleh kerajaan walaupun ada bukti penyelewengan yang dilakukan oleh penjawat awam, memang perkara ini akan berterusan sampai bila-bila," tegasnya.
KEHILANGAN/KERUGIAN WANG AWAM, PEMBAYARAN TIDAK TERATUR & PEMBAZIRAN
- RM158.08 juta
KEHILANGAN/KERUGIAN WANG AWAM RM116.95 JUTA
JKDM
RM72.17 juta - Syarat pemastautin dan pemilikan kenderaan tidak dipatuhi.
RM150,000 - Pengiraan duti eksais tidak tepat.
MAFI
RM37 juta - Dana obligasi sosial tahun 2021 belum diterima.
K-KOMM
RM4 juta - Projek Dana Kandungan Digital (OKD) tahun 2017-2019 gagal disiapkan.
PDRM
RM1.82 juta - Denda tidak dikenakan.
JPM
RM1.16 juta - Sewa kuarters tidak dikutip.
RM400,000 - Kutipan sewa kuarters tidak selaras dengan gred jawatan penghuni.
RM100,000 - Kutipan sewa kuarters tidak selaras dengan lokasi pejabat penghuni.
JPJ
RM150,000 - Penalti tidak dikenakan.
PEMBAYARAN TIDAK TERATUR RM26.03 JUTA
PDRM
RM17.76 juta - Bayaran tidak mengikut kontrak.
K-KOMM
RM4 juta - Penyaluran Dana Kandungan Digital (DKD) kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli Perbadanan atau Jawatankuasa.
RM3.25 juta - DKD dibayar sebelum projek terdahulu selesai.
RM60,000 - Bayaran tidak teratur atau penjualan hak siaran.
MAFI
RM730,00 - Bayaran Skim Subsidi Harga Padi kepada pesawah meninggal dunia.
MINDEF
RM230,000 - Bayaran Arahan Perubahan Kerja dibuat sebelum kelulusan Jawatankuasa Kelulusan Perubahan Kerja.
PEMBAZIRAN RM15.10 JUTA
JPJ
RM14.23 juta - Kad Lesen Memandu tidak digunakan.
MAFI
RM870,000 - Jentera belum digunakan dan telah rosak.
Klik di sini untuk terus membaca