MASANYA telah tiba untuk kita memperbaharui dan meningkatkan iltizam memperkasa penghayatan budaya ilmu. Kita perlu membuat penilaian, penambahbaikan dan pendekatan baharu dengan sense of urgency. Bertanya dan menjawab soalan-soalan yang... Klik di sini untuk terus membaca

MASANYA telah tiba untuk kita memperbaharui dan meningkatkan iltizam memperkasa penghayatan budaya ilmu.

Kita perlu membuat penilaian, penambahbaikan dan pendekatan baharu dengan sense of urgency. Bertanya dan menjawab soalan-soalan yang sukar (the hard questions).

Persoalan pokoknya ialah sejauh manakah kita benar-benar melaksanakan Falsafah dan Dasar Pendidikan Kebangsaan?

Dalam hal ini, kita perlu menetapkan bahawa matlamat pendidikan negara ialah untuk melahirkan ‘insan baik’ (good man), bukannya sekadar ‘pekerja baik’ (good worker).

Pekerja yang baik belum tentu insan yang baik. Tetapi insan yang baik seharusnya pekerja yang baik.

Insan yang baik mesti dibina atas asas-asas agama yang kukuh, dan kearifan ilmu. Tetapi ilmu yang bagaimana? Menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas, "Ilmu ialah ketibaan makna daripada maklumat yang benar.”

Ada maklumat yang palsu, tetapi memberi makna buat penerimanya – itu bukan ilmu. Itu berita palsu, fitnah atau formula-formula yang terduduk.

Ada maklumat yang benar, tetapi tidak memberi makna buat penerimanya – itu bukan ilmu. Itu ayam di Ayer Hitam yang menteri tak jumpa telurnya.

Jadi, ada ilmu yang ilmu dan ada ilmu yang bukan ilmu. Ilmu yang ilmu ialah yang maklumatnya benar (sahih) dan memberi makna (manfaat) mengikut lunas-lunas agama dan kearifan ilmu, manakala ilmu yang bukan ilmu tidak bermanfaat, malah membawa fasad. Contohnya, penjenayah kolar putih.

Ilmu perlu dihayati dalam kerangka Budaya Ilmu. Terdapat tiga prinsip Budaya Ilmu (Wan Mohd Nor Wan Daud):

• Meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat paling tinggi. Contohnya, naib canselor perlu seorang yang terkanan dalam disiplin tertentu. Barulah wujud dua elemen sakral dunia ilmu iaitu peer recognition dan collegiality.

• Sentiasa menuntut dan mengongsi ilmu. Di sini relevannya bab kebebasan bersuara, akademik dan berkarya.

• Setiap keputusan dan tindakan adalah berdasarkan ilmu. Ini merujuk R&D, fakta, sains, data raya dan sebagainya.

Ini perlu dilaksanakan dengan menambah baik bidang-bidang atau elemen-elemen dalam konsep ‘pendidikan bersepadu’. Ini soal pelaksanaan kesepaduan itu sendiri.

Contohnya, kesepaduan antara teras-teras Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri: intelek, rohani, emosi dan jasmani. Adakah ia benar-benar seimbang? Atau ia senget?

Bagaimana pula kesepaduan antara ilmu wahyu dan ilmu kemanusiaan, antara disiplin-disiplin ilmu, antara akademik dan kokurikulum, antara bilik darjah dan praktikum/perantisan, dan antara ilmu warisan dan ilmu masa depan? Bagaimana dengan Islamisasi ilmu dan mengarus-perdana ilmu tempatan? Bagaimana dengan pembinaan tamadun?

Semoga kita dapat bersepakat dalam matlamat yang amat mustahak ini.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang

Klik di sini untuk terus membaca