SHAH ALAM - Berita penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) ditemui lagi di Malaysia bukan sesuatu yang mengejutkan.
Pemerhati isu pelarian, Norman Fernandez berkata, sebenarnya terdapat banyak lagi penempatan yang diterokai dan dijadikan perkampungan yang dilengkapi dengan prasarana asas.
Mendedahkan lebih lanjut, Norman berkata, masalah itu berlarutan apabila warga tempatan yang mengambil pendirian untuk ‘berdiam diri’ daripada menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib.
"Jika tidak dilaporkan, bagaimana pihak berkuasa henda mengambil tindakan. Besar kemungkinan mereka tutup mata atau ambil pendekatan tidak mahu ambil tahu selagi PATI tidak ganggu warga setempat,” katanya kepada Sinar Premium.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia menggempur sebuah perkampungan haram PATI Indonesia di Cyberjaya, Sepang.
Perkampungan itu dikesan dilengkapi surau, kedai runcit, kedai membekalkan gas memasak selain warung.
Perkampungan itu difahamkan sudah diduduki oleh PATI selama tujuh tahun dan didiami kira-kira lebih 100 orang.
Mendepani isu ini Norman berkata, selagi Malaysia tidak mempunyai strategi tegas dan melakukan operasi terhadap PATI secara bermusim, masalah membanteras dan membongkar penempatan haram PATI tidak akan selesai.
"Apa yang saya lihat ialah undang-undang tidak cukup ketat menangani isu PATI ini dan juga terhadap mereka yang membantu masuk dan selia selenggara PATI.
"Lebih mengecewakan ialah mudah bagi PATI dan mereka yang tinggal lebih masa untuk mengambil kesempatan Program Rekalibrasi yang berlarutan dan bersambung,” tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca