SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan Pusat Pengesahan Pekerjaan ASEAN. Ia bagi membantu rakyat Malaysia menyiasat maklumat dan latar belakang syarikat menawarkan pekerjaan di... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan Pusat Pengesahan Pekerjaan ASEAN.

Ia bagi membantu rakyat Malaysia menyiasat maklumat dan latar belakang syarikat menawarkan pekerjaan di luar negara terutama di rantau Asia Tenggara.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, penubuhan pusat maklumat itu penting bagi mengelakkan rakyat Malaysia daripada terpedaya dengan tawaran pekerjaan yang menyediakan gaji lumayan dan bagi mengelak daripada terjebak dengan sindiket pemerdagangan manusia.

Kamarul Baharin Mansor
Kamarul Baharin Mansor

Jelas beliau, cadangan MTUC itu juga selaras dengan inisiatif kongres berkenaan yang bakal melancarkan pusat maklumat seumpama itu dalam tempoh terdekat.

"MTUC hakikatnya sedang menyiapkan inisiatif pelancaran Pusat Pengesahan Pekerjaan ASEAN bagi membantu rakyat negara ini menyiasat maklumat dan latar belakang syarikat-syarikat luar negara yang menawarkan sebarang peluang pekerjaan kepada mereka.

"Di Malaysia, ILO bekerjasama dengan MTUC untuk menguruskan sebarang isu pekerja asing di sini.

"Menerusi jaringan kontak dan kerjasama erat MTUC-ILO, kita berkeupayaan untuk menghubungi setiap pusat pengendalian isu pekerja asing di luar negara termasuk rantau Asia Tenggara bagi menyemak latar belakang mana-mana syarikat luar negara yang menawarkan pekerjaan kepada rakyat bagi mengenal pasti kesahihannya.

"Justeru, MTUC bersedia membantu kerajaan untuk menubuhkan Pusat Pengesahan Pekerjaan ASEAN bagi menyiasat latar belakang syarikat luar negara sekiranya diperlukan,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menegaskan Wisma Putra telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani isu kewujudan sindiket penipuan pekerjaan dan pemerdagangan rakyat Malaysia di luar negara.

Mengenai Pusat Pengesahan Pekerjaan ASEAN bagi menyiasat latar belakang syarikat negara asing yang bakal dilancarkan MTUC, Kamarul Baharin menjelaskan, ia bakal berpusat di ibu pejabat kongres itu di Subang Jaya, Selangor.

Tambah beliau, inisiatif itu juga adalah langkah pencegahan awal direncana MTUC bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia, terutama golongan muda tertipu dengan tawaran pekerjaan menawarkan gaji lumayan di luar negara.

"MTUC sedang merangka strategi untuk mengatur setiap maklumat atau informasi diperlukan rakyat Malaysia yang berhasrat bekerja di luar negara.

"Apabila pusat maklumat ini sudah mula beroperasi, mana-mana rakyat Malaysia mahu pun ibu bapa yang ragu-ragu dengan tawaran pekerjaan di luar negara boleh hadir menemui kami bagi mengenal pasti kesahihan syarikat berkenaan,” tegas beliau.

Saran kukuh koordinasi agensi berkaitan

Sementara itu, kerajaan disaran mengukuhkan koordinasi pengurusan dan undang-undang antara agensi berkaitan untuk memerangi sindiket penipuan pekerjaan dan pemerdagangan rakyat Malaysia di luar negara termasuk Myanmar melalui jawatankuasa khas yang ditubuhkan.

Pakar Undang-undang dan Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, koordinasi yang baik antara semua agensi amat wajar dan perlu diperkasakan agar perancangan yang dibuat lebih tersusun dan terancang.

Khairil Azmin
Khairil Azmin
Khairil Azmin
Khairil Azmin
Khairil Azmin

Katanya, kepakaran yang ada dalam setiap agensi penguatkuasa negara tidak perlu dipertikaikan lagi namun ia perlu diselaraskan dengan baik.

"Saya rasa benda ini perlu diteliti kerana ia melibatkan pelbagai kementerian dan agensi. Kita mahu usaha yang dilakukan sekarang bersifat holistik secara keseluruhannya.

"Isu yang dibangkitkan ini sangat serius kerana ia melibatkan pencabulan hak asasi dan jenayah terancang. Bila individu ditipu dan dipaksa bekerja maka di situ ada dua pencabulan hak asasi iaitu kebebasan diri dan kerja paksa,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Menurut Khairil Azmi, perkara itu menjadi lebih sukar apabila melibatkan negara lain memandangkan setiap tindakan undang-undang perlu mendapat persetujuan atau kerjasama daripada kerajaan mereka.

"Itu adalah satu cabaran besar buat Malaysia. Kalau berlaku dalam negara tiada masalah sebab kita boleh gunakan undang-undang Malaysia.

"Sebagai contoh, media melaporkan jenayah sebegini ada berlaku di sempadan segitiga emas (Thailand, Laos, dan Myanmar).

"Jadi, Malaysia perlu mengambil langkah bijak untuk mendapat sokongan ketiga-tiga negara tersebut bagi memudahkan penangkapan dibuat,” jelasnya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar meneliti terlebih dahulu tawaran yang diperoleh untuk bekerja di luar negara bagi memastikan tidak ditipu oleh sindiket.

"Periksa nama syarikat, kontrak kerja dan yang paling penting beritahu keluarga masing-masing. Jangan jadi mangsa penipuan sindiket,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca