CHINA telah menggantikan Amerika Syarikat untuk menjadi pasaran ekonomi terbesar di dunia pada ketika ini.
Laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan ekonomi China kini satu per enam lebih besar daripada Amerika Syarikat (AS) iaitu AS$24.2 trilion (RM106 trilion) berbanding AS$20.8 (RM91.1trilion).
Teknologi Negara Tembok Besar itu juga dikatakan antara yang terhebat di dunia ketika ini selain AS, Britain dan Eropah.
Terbaharu, China mengejutkan pengeluar motosikal terkenal Eropah dan Jepun apabila berjaya menghasilkan motosikal berkuasa tinggi jenis CFMoto 800NK yang baru sahaja dilancarkan awal tahun ini.
Chunfeng Moto Power Company Limited Ltd (CFMoto) ditubuhkan pada 1989 oleh Lai Guogui, seorang anak muda berusia 24 tahun ketika itu.
Beliau bermula dengan membangunkan industri dua roda di China. Pada awal 2020, CFMoto berjaya memasarkan motosikal berkuasa tinggi CFMoto 250SR model sport bike sporty dengan pilihan warna terbaharu Starlight Black dan Lightspeed Gray pada harga pasaran RM15,800. Model Limited Edition pula hanya berharga RM17,800.
Reka bentuk enjin 4-lejang bersilinder tunggal dual overhead cam (DOHC) 249.2cc yang disejukkan dengan cecair model 250SR berkapasiti 12 liter pula mampu mencapai kekuatan 27.5hp atau horse power.
Ia menghasilkan daya kilas 22Nm atau newton-meter pada kelajuan aci 9,750rpm atau revolution per minute. Untuk pengendalian mantap, 250SR dilengkapi tayar saiz 110/70-17 dan 140/60-17 dengan sistem brek anti-lock braking system atau ABS untuk mencapai tahap keselamatan maksimum.
Selain CFMoto, beberapa jenama motosikal China popular sekarang ialah Zongshen yang berpangkalan di Chongqing, China.
Ia ditubuhkan pada tahun 1992 dan antara yang terbesar di China ketika ini. Ada juga beberapa pengeluar motosikal pelbagai jenis yang sedang meningkat naik seperti Chang Jiang, Lexmoto, FB Mondial, Zontes, Voge, AJS dan Baotian.
Apa yang menarik perhatian penulis ialah CFMoto 800NK bukan berada pada kelas biasa. Sebaliknya motosikal tersebut menandingi Suzuki GSX-8S, Honda CB750 Hornet, Yamaha MT-07 dan KTM 790 Duke.
Menurut laporan CFMoto, 800NK mampu menghasilkan 100.8hp pada kelajuan aci 9,000 rpm dengan daya kilas 81Nm.
Meskipun belum ada tanda harga untuk CFMoto, petanda pada pasaran motosikal antarabangsa menunjukkan ia bakal menyaingi jualan Honda CB750 Hornet dan Suxuki GSX-8S, Yamaha MT-07, Triump Street Triple dan Kawasaki Z650 yang telah dilancarkan awal 2022.
Apakah senario itu ada disebut dalam al-Quran? Kajian penulis mendapati ia disebut ALLAH SWT menerusi Surah Al-Baqarah ayat (2:164) terjemahannya bermaksud, "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang ALLAH turunkan daripada langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; Sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran ALLAH) bagi kaum yang memikirkan.”
Dengan perkembangan terbaharu, negara pengeluar motosikal terkenal mesti mula memerhati perkembangan syarikat motosikal China. Hakikat CFMoto mampu membuktikan motosikal China setanding pengeluar motosikal ternama Jepun atau Barat, mesti sentiasa dihayati. Penyerapan teknologi KTM jelas membantu 800NK untuk setanding pesaing Eropah, AS dan Jepun.
Penulis juga difahamkan CFMoto kini telah menembusi 72 negara hanya bermula dengan penjualan all-terrain vehicle (ATV). Ia berubah daripada pengeluaran kenderaan murah kepada pengeluaran motosikal bernilai tinggi dan berkualiti seperti negara barat dan Jepun.
Persoalannya, bagaimana China boleh begitu pantas menandingi negara Barat dan Jepun dalam industri pembuatan motosikal?
Kerajaan China berusaha memujuk penduduknya yang telah bekerja syarikat berteknologi tinggi di negara maju seperti di AS, Eropah, Britain dan Jepun untuk pulang ke tanah air dan bekerja di syarikat berteknologi di China.
Syarikat diarah membayar gaji lumayan memastikan mereka pulang ke tanah air untuk membangunkan produk berkualiti demi menandingi Barat.
Kesimpulannya, penulis sangat teruja dengan kejayaan terbaharu teknologi permotoran China.
Penulis percaya sikap terbuka dalam menangani kejayaan China sangat penting kepada perkembangan dan pembangunan industri negara.
Malaysia sebenarnya mampu mengeluarkan motosikal nasional yang berkualiti tinggi!
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca