KIRIKHAN - Sebahagian besar mangsa gempa bumi dahsyat yang melanda Turkiye dan Syria dilaporkan meninggal dunia tidak lama selepas mereka diselamatkan.
Dalam kes terbaharu, wanita Turkiye, Zeynep Kahraman menghembuskan nafas terakhirnya pada Jumaat lalu selepas dia dikeluarkan dari sisa runtuhan kediamannya yang ranap di pekan Kirikhan, wilayah Hatay.
Sebelum itu, Zeynep tertimbus selama lebih 100 jam dalam keadaan tertiarap bersama mayat suami serta ahli keluarganya yang lain.
Wanita berusia 40 tahun itu diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Antarabangsa Jerman (ISAR) dalam operasi tanpa henti selama 50 jam.
Zeynep kelihatan tenang dan dalam keadaan stabil serta menerima rawatan perubatan selepas dibawa keluar dengan pengusung.
"Dia masih sempat tersenyum ketika dalam perjalanan ke hospital. Mungkin terdapat 120,000 sebab mengapa wanita itu mati.
"Mungkin dia mengalami kecederaan dalaman yang gagal dikesan segera oleh penyelamat," kata anggota ISAR, Dr Bastian Herbst.
Herbst turut mengkategorikan kematian Zeynep sebagai rescue death.
Kematian akibat darah beku
Menurut Herbst, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada rescue death.
Salah satu daripadanya ialah hipotermia, keadaan di mana suhu badan yang jauh lebih rendah daripada paras normal.
Pada paras normal, suhu badan adalah sekitar 37 darjah Celsius dan hipotermia berlaku apabila suhu badan jatuh di bawah 35 darjah Celsius.
"Hipotermia disebabkan oleh pendedahan yang berpanjangan kepada suhu yang sangat sejuk.
"Dan suhu berais di zon bencana berfungsi menyempitkan lagi saluran darah mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
"Apabila suhu badan seseorang sangat rendah, otak dan badan tidak berfungsi dengan baik. Jika tidak dirawat, hipotermia boleh menyebabkan kegagalan jantung seterusnya kematian," jelas Herbst.
Operasi menyelamat Zeynep rumit
Mengulas mengenai operasi menyelamat Zeynep, Herbst menjelaskan ia adalah proses yang rumit dan mencabar.
Herbst menjelaskan bahawa pihaknya terpaksa melakukan banyak gerakan dalam usaha membebaskan wanita malang itu.
"Melalui pergerakan ini, doktor kecemasan memberitahu saluran darah Zeynep mungkin melebar sekali gus menyebabkan darah sejuk mengalir ke teras badannya.
"Situasi ini boleh menyebabkan risiko aritmia jantung keadaan di mana degupan jantung tidak normal sama ada berdegup terlalu perlahan atau terlalu laju.
"Walaupun dia dapat menggerakkan kakinya, namun ia tertimbus di bawah batu dan runtuhan. Ada kemungkinan tisu kakinya rosak menyebabkan badannya melepaskan mioglobin," kata Herbst.
Mioglobin ialah protein yang berfungsi menyimpan dan mengangkut oksigen ke otot melalui aliran darah.
Selepas kecederaan otot, plasma mioglobin yang dibebaskan berlebihan boleh menyebabkan kesan toksik pada organ buah pinggang seperti penyumbatan tiub ginjal, nefrotoksiksitas, vasokonstriksi intrarenal dan kecederaan buah pinggang akut.
Kurang tekanan membawa kepada kematian
Herbst turut beranggapan bahawa mangsa gempa bumi yang kurang berdepan tekanan berisiko meninggal dunia.
"Kami menyedari perkara ini setiap kali kami menyelamatkan mangsa kapal yang karam di laut.
"Sebaik sahaja melihat pasukan penyelamat, mereka mula berasa lega.
"Sebenarnya hormon yang terhasil semasa diri berasa tertekan mampu mengekalkan fungsi organ.
"Apabila hormon ini berkurangan selepas diselamatkan, sistem peredaran darah boleh terjejas," katanya.
Mengulas kes Zeynep, Herbst beranggapan kematian suami dan anak-anaknya dalam bencana gempa bumi itu telah 'merampas' keinginannya untuk hidup.
"Dia mungkin menyedari perkara ini dan sudah tiada keinginan lagi untuk meneruskan kehidupan.
"Saya tidak tahu jika perkara ini benar tapi ia satu kebarangkalian," katanya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca