SHAH ALAM - "Mula-mula saya hendak tanding jawatan Ketua Pemuda UMNO sejurus Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sepakat batalkan keputusan pecat saya sebagai ahli parti dan semua jawatan pada semalam (Khamis).
"Tetapi bila (Setiausaha Pemuda UMNO) Datuk Hasmuni (Hassan) yang merupakan sebahagian tim penyokong Presiden menawarkan diri bertanding jawatan itu, saya undur diri sebab tidak mahu sokongan pasukan pro Presiden berpecah dua."
Demikian penjelasan Ahli MKT UMNO yang dilantik kembali secara automatik, Datuk Lokman Noor Adam susulan keputusan pemecatan beliau dibatalkan dalam mesyuarat badan tertinggi parti, malam Khamis.
Lokman berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melalui panggilan telefon, sekali gus mengembalikan haknya untuk bertanding dalam pemilihan parti kali ini.
Berikutan keputusan itu, Lokman bukan sahaja dilantik kembali sebagai ahli MKT, bahkan turut menjawat semula kedudukan Ketua UMNO cawangan Bandar Sri Gading, Johor.
Lokman dipecat daripada UMNO pada 7 Februari 2020, dipercayai selepas mendedahkan rakaman audio yang didakwa menggambarkan percubaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyakinkan pemimpin parti itu agar bekerjasama dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Sebelum itu, Lokman pernah bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, Selangor pada tahun 2018, tidak sampai 100 hari selepas kerajaan PH mengambil alih Putrajaya, namun tewas.
Sehingga kini, selain Hasmuni yang sudah menyatakan hasrat bertanding jawatan tertinggi sayap Pemuda UMNO dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, seorang lagi Ahli MKT, Datuk Armand Azha Abu Hanifah turut mengesahkan keinginan bertanding.
Mengulas lanjut, Lokman menjelaskan beliau mahu mendapatkan pandangan dan restu daripada Ahmad Zahid terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk bertanding sebarang jawatan parti di peringkat Pusat, termasuk mempertahankan ahli MKT.
Jelasnya, dengan pertembungan di antara kem pro Presiden UMNO dan kem dianggap cuba 'mengganggu gugat' UMNO dijangka getir pada pemilihan kali ini, sudah pasti pihak pro Presiden akan mempertaruhkan tiga calon Naib Presiden dan 25 calon MKT yang terpilih sahaja.
"Apa pun kita akan tunggu pandangan daripada Presiden. Soal kemungkinan saya bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada tahun ini pun saya serahkan kepada kebijaksanaan pucuk kepimpinan parti.
"Cuma kemungkinan paling besar adalah saya akan menawarkan diri bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Sri Gading jika tidak bertanding di peringkat Pusat kelak," tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca