SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan kadar upah pekerja di Malaysia masih lagi di tahap rendah kerana belum mencapai sasaran kerajaan sebanyak 40 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ketua... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengesahkan kadar upah pekerja di Malaysia masih lagi di tahap rendah kerana belum mencapai sasaran kerajaan sebanyak 40 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, tiada perubahan drastik dalam trend upah pekerja Malaysia kepada KDNK yang mana peratusan sumbangannya adalah sebanyak 34.8 sehingga 37.1 peratus.

"Menurut Laporan Kaedah Pendapatan KDNK tahun 2021, kadar upah dan gaji pekerja menunjukkan peningkatan sebanyak 1.3 peratus daripada 35.8 peratus pada tahun 2018 kepada 37.1 peratus pada tahun 2020.

"Namun, pada tahun 2021, kadar upah dan gaji pekerja jatuh sebanyak 2.6 peratus daripada 37.1 peratus (2020) kepada 34.8 peratus (2021) dengan jumlah RM537.9 bilion.

"Pertumbuhan kadar upah dan gaji pekerja dalam KDNK sehingga tahun 2020 sangat positif. Namun, kita masih belum mencapai 40 peratus seperti yang disasarkan oleh kerajaan,” katanya kepada Sinar Premium.

Jelas beliau, kadar upah pekerja di Malaysia masih rendah berbanding negara Asia dan Asia Tenggara yang lain seperti di Singapura, Filipina dan Korea Selatan.

"Manakala, kebanyakan negara-negara maju mempunyai kadar upah pekerja melebihi 40 peratus iaitu Amerika Syarikat dengan 54.2 peratus, Australia (47.7), dan Afrika Selatan (46.0) pada tahun yang sama,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada keseluruhan perbelanjaan upah dan gaji pekerja di Malaysia.

Menurutnya, bayaran kepada pekerja merangkumi saraan dalam bentuk wang tunai atau bukan tunai, yang perlu dibayar oleh sesebuah perusahaan kepada pekerja sebagai balasan bagi kerja-kerja yang telah dilakukan dalam tempoh perakaunan.

"Sektor perkhidmatan menyumbang 62.8 peratus, yang mana lebih rendah berbanding 63.5 peratus yang direkodkan pada tahun 2020.

Sementara itu, sumbangan sektor pembuatan meningkat kepada 23.3 peratus, berbanding 22.5 peratus pada tahun 2019.

"Sektor pembinaan pula menyumbang 7.5 peratus, diikuti oleh sektor pertanian 4.3 peratus dan perlombongan dan pengkuarian sebanyak dua peratus pada tahun 2021,” katanya.

Dalam pada itu, upah dan gaji pekerja telah merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 2.2 peratus pada tahun 2021 daripada penurunan 3.0 peratus pada tahun sebelumnya.

"Kita lihat pada tahun 2021, upah dan gaji pekerja memberi sumbangan terbesar dalam sektor pembinaan dengan 72.6 peratus diikuti perkhidmatan (40.3), pembuatan (34.6), pertanian (15.7) dan sektor perlombongan serta pengkuarian menyumbang 8.6 peratus,” katanya.

Biarpun kadar pertumbuhan upah dan gaji pekerja menunjukkan perkembangan positif, ia menyusut dengan marginal sebanyak 0.9 peratus berbanding pra-pandemik pada tahun 2019.

"Cukai bersih kekal merosot lapan peratus berbanding negatif 30.2 peratus pada tahun 2019. Penyusutan yang sederhana ini didorong oleh cukai ke atas pengeluaran dan import yang lebih tinggi.

"Sementara itu, subsidi berkembang 28.7 peratus berikutan pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan ketika itu bagi merancakkan lagi ekonomi domestik,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca