SHAH ALAM - Kadar gaji pekerja di Malaysia seharusnya diselaraskan dengan kadar kenaikan kos sara hidup rakyat mengikut kawasan penempatan masing-masing, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Sehubungan itu, beliau... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kadar gaji pekerja di Malaysia seharusnya diselaraskan dengan kadar kenaikan kos sara hidup rakyat mengikut kawasan penempatan masing-masing, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan kerajaan merealisasikan pelaksanaan gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 mengikut negeri atau daerah berikutan kadar kos sara hidup yang berbeza di setiap lokasi.

"Sekiranya kita bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur, agak sukar untuk survive dengan gaji minimum RM1,500 akibat kos sara hidup yang tinggi di bandar. Berbeza dengan mereka yang duduk di Gua Musang atau di Hulu Kelantan.

"Di sana, rakyat mungkin boleh hidup dengan gaji minimum RM1,500. Oleh itu, kerajaan harus melaksanakan kajian secara terperinci dan menyeluruh supaya kita dapat mengenal pasti perbezaan kadar gaji minimum diperlukan bagi setiap kawasan dan keperluan setempat,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Premium.

"Harga barang di Sabah dan Sarawak hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

"Hal ini dipengaruhi oleh faktor tambahan kos pengangkutan daripada Kuala Lumpur untuk dihantar ke Sabah. Oleh itu, gaji minimum RM1,500 bagi saya tidak wajar atau mencukupi,” jelasnya.

Ismail Sabri berpandangan, kerajaan perlu memberi tumpuan secara asas dahulu berikutan isu gaji kecil bagi sebilangan besar rakyat yang bekerja di ibu kota.

"Tumpukan secara asas dahulu. Pada waktu saya menjadi Perdana Menteri, kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan. Namun, pada waktu itu, ada permohonan daripada syarikat-syarikat kecil yang mempunyai kurang daripada lima orang pekerja meminta keputusan kerajaan itu ditangguhkan.

"Pada 1 Mei 2022 bermulanya penetapan kadar gaji minimum baharu tetapi apabila kerajaan me-nunda sehingga 1 Januari tahun ini, ia terus ditangguhkan lagi. Bagi saya, tindakan itu tidak patut dilakukan dan saya setuju sekiranya penetapan kadar gaji minimum baharu dikuatkuasakan segera,” jelas beliau.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan di seluruh negara bermula 1 Mei 2022 berkuat kuasa terlebih dahulu melibatkan syarikat-syarikat besar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bagaimanapun, Kerajaan Perpaduan kini memutuskan untuk menangguhkan penguatkuasaan gaji minimum RM1,500 melibatkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja sehingga 1 Julai 2023.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, majikan dalam kategori berkenaan diberikan penangguhan selama enam bulan terhadap penguatkuasaan gaji minimum itu berbanding tarikh 1 Januari 2023 yang ditetapkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut meminta agar penetapan kadar gaji minimum baharu dikuatkuasakan segera susulan ramai yang terpaksa membuat kerja sambilan akibat desakan ekonomi.

"Saya berharap agar asas kadar gaji minimum RM1,500 itu dipercepatkan dan tidak ditangguh lagi. Ini kerana ramai yang meraih RM1,500 sebulan terpaksa membuat kerja tambahan bagi menyara kehidupan.

"Kajian secara menyeluruh perlu diteruskan supaya gaji diperoleh rakyat Malaysia perlu bersesuaian dengan keperluan tempat mereka tinggal,” tambahnya.

Klik di sini untuk terus membaca