AMARAN keras bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tindakan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memburuk-burukkan beliau dan PN berisiko memakan diri adalah menarik untuk diperhatikan.
Beliau ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu lalu mengingatkan bahawa tindakan tersebut akan menyebabkan backlash (makan diri) yang menyebabkan rakyat marah kepada kerajaan.
Justeru, Pakatan Harapan (PH) akan sekali lagi dilanda gelombang PN dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) sesudah ia membadai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Walaupun trend semasa menjangkakan begitu, ada beberapa perkara juga harus diperhatikan dalam meneliti kenyataan tersebut.
Pertama, gelombang PN dilihat sebagai momentum undi Melayu. Namun, perubahan mendadak undi Melayu terhadap PN sebahagian besarnya disebabkan oleh dua faktor iaitu undi kelompok muda dan baharu serta undi protes akar umbi.
Diperhatikan, dua faktor itulah yang menyebabkan BN dan PH kalah teruk di kerusi-kerusi majoriti Melayu. Dari satu sisi, benarlah gelombang Melayu membadai dan menyebelahi PN.
Tetapi, apakah gelombang itu tetap sama dan adakah pengundi Melayu masih kekal mengundi PN pada PRN mendatang, masih sukar untuk dipertahankan.
Umum mengetahui naratif setiap pilihan raya berbeza. Untuk menyamakan trend dan gelombang sesuatu pilihan raya dengan yang lain adalah sulit kerana angkubah serta pola pengundian terlalu sukar dibaca.
Paling jelas, lihat bagaimana PRN Melaka dan Johor yang memberikan kemenangan mudah kepada BN menjadi sebaliknya pada PRU15.
Naratif PRN kali ini juga berbeza. Di sebalik momentum gelombang PN yang masih ada, skala momentum tersebut mungkin tidak sama.
Pertama, PN mungkin berdepan dengan kerjasama PH-BN yang menjadikan pertembungan satu lawan satu kembali menyeimbangi persaingan. Atas kertas mungkin berlaku status quo, namun pada pilihan raya macam-macam perkara boleh terjadi.
Kedua, naratif PRN lazimnya membawa isu-isu lokal dan setempat yang menyentuh tentang perbandaran, pembangunan serta infrastruktur.
Memandangkan sumber dan penguasaan jentera kerajaan pusat ada kepada PH-BN, hal-hal sebegitu mungkin mampu menukar pilihan pengundi dalam konteks PRN.
'Gula-gula' politik Walaupun isu-isu nasional masih mendapat tempat, ia sedikit tenggelam dan impaknya tidaklah sebesar seperti PRU.
Dengan Bajet 2023 bakal dibentangkan, apakah akan ada ‘gula-gula’ politik diberikan terutama kepada pengundi Melayu yang berupaya membeli jiwa mereka.
Ketiga, ujian kekuatan akar umbi. Faktor itu barangkali paling menarik untuk diperhatikan. Trend keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang relatifnya rendah dijangka menyukarkan PRN.
Disebabkan PRN diadakan berasingan, sambutannya dijangka sama seperti PRN di Melaka dan Johor.
Kalau berulang, parti-parti established (bertapak) memiliki kelebihan. PN terutama Pas mungkin tiada masalah menggemblengnya tetapi tidak BN. Menjangkakan ada kerjasama antara PH-BN pada PRN nanti, kerjasama akar umbi antara kedua-duanya masih samar.
Ketika ini pimpinan tertinggi PH-BN mungkin tiada masalah bekerjasama. Namun, kesukaran itu lebih membebani akar umbi masing-masing. Tentulah sukar dan janggal antara mereka untuk bekerjasama setelah apa yang berlaku sebelumnya.
Dengan tempoh PRN yang semakin suntuk, kerjasama akar umbi jelas antara keperluan segera untuk PH-BN lakukan menjelang PRN.
Terakhir, faktor Anwar.
Ketika penarafan kelulusan (approval rating) terhadap beliau yang tinggi, rating bagi kerajaannya adalah berbeza. Kajian Merdeka Centre memperlihatkan di sebalik Anwar mencatatkan skor 68 peratus, Kerajaan Perpaduan mendapat skor rendah (54 peratus).
Lebih membimbangkan, Anwar dan kerajaannya mendapat sokongan yang lebih rendah dalam kalangan orang Melayu, berbanding bukan Melayu.
Walaupun menerima penarafan melebihi 70 peratus daripada kaum lain, Anwar mendapat skor 60 peratus dalam kalangan orang Melayu, sementara kerajaannya hanya mendapat 48 peratus.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca