MENYELUSURI zaman pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), terdapat satu amalan atau trend tata kelola pelantikan jawatan dalam kerajaan baharu ini yang dilihat... Klik di sini untuk terus membaca

MENYELUSURI zaman pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), terdapat satu amalan atau trend tata kelola pelantikan jawatan dalam kerajaan baharu ini yang dilihat semakin popular.

Tawaran berkhidmat kepada negara tanpa dibayar gaji itu atau dipanggil ‘pro bono’ sudah pasti dirintis oleh Anwar seusai beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Tindakan Anwar itu disambut positif 33 juta rakyat negara ini yang mahukan Malaysia ditadbir oleh struktur kepimpinan Jemaah Menteri yang berintegriti, amanah dan mengutamakan tadbir urus baik (good governance).

Bagaimanapun, apabila Anwar melantik diri sendiri sebagai Menteri Kewangan sewaktu pengumuman barisan kabinet Kerajaan Perpaduan dan turut menjanjikan khidmat ‘pro bono’, ramai pemerhati politik sudah mula angkat kening.

Keputusan itu bertentangan dengan pendirian beliau dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang menegaskan Perdana Menteri tidak boleh melaksanakan pemusatan kuasa, sekali gus meningkatkan risiko salah guna kuasa.

Apabila isu itu reda setelah Anwar dan pemimpin PH memberi justifikasi secara berterusan, timbul pula ketidakpuashatian dalam kalangan warganet dan parti pembangkang apabila anak beliau, Nurul Izzah pula diumumkan sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri tanpa gaji.

Nurul Izzah lantas meletak jawatan dengan beliau kemudiannya dilantik mengetuai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Kepada Menteri Kewangan, satu majlis dianggotai golongan profesional serta pakar ekonomi yang turut melibatkan Penasihat Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican secara khidmat ‘pro bono’.

Khidmat tanpa gaji

Belum reda kontroversi pelantikan Nurul Izzah, negara dikejutkan pula dengan pelantikan bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat baharu dengan beliau turut mendakwa memberi khidmat tanpa gaji.

Mohamed Nazri dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baharu.

Bagi Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang Kampus Raub, Mohd Rozaimy Ridzuan, pelantikan kenalan rapat, rakan politik atau ahli keluarga untuk mengisi jawatan penting kerajaan terutamanya dalam melibatkan sektor perkhidmatan awam sememangnya ada baik dan buruk mengikut situasi tertentu.

Jelasnya, pelantikan sebegitu mungkin diperlukan sekiranya terdapat keadaan mendesak di mana memang tidak ada calon lain yang layak memegang jawatan itu serta kekosongan jawatan yang terlalu lama berupaya menjejaskan ekonomi negara.

"Sungguhpun begitu, harus difikirkan kesan negatifnya tatkala kerajaan memerlukan keyakinan penuh rakyat bagi membolehkan dasar-dasar kerajaan terus berjalan dengan baik.

Hakikatnya, dalam bidang guaman, peguam akan membantu secara ‘pro bono’ hanya disebabkan anak guamnya miskin, tidak mampu membayar yuran guaman tinggi atau peguam berkenaan merupakan seorang aktivis masyarakat yang memperjuang kepentingan rakyat.

Tetapi seseorang individu sama ada ahli korporat atau ahli politik jika dilantik ke jawatan rasmi kerajaan seperti menjadi penasihat Perdana Menteri atau duta besar sekalipun menawarkan khidmat ‘pro bono’ tanpa mengharapkan walau RM1, tetap ada implikasi dari segi undang-undang.

"Kerajaan adalah majikan dalam bidang eksekutif dengan seseorang individu dilantik memegang jawatan rasmi mesti menerima balasan walaupun nilainya hanya RM1 supaya wujud kontrak antara individu itu dengan kerajaan.

"Misalnya pelantikan duta, individu itu memegang jawatan rasmi sebagai wakil rasmi kerajaan di negara asing. Jika beliau berkhidmat secara pro bono, ini bermakna satu sen pun individu itu tidak ambil daripada kerajaan.

"Bila keadaan itu berlaku, ini bermakna tidak wujud kontrak antara duta berkenaan dengan kerajaan Malaysia. Justeru, duta itu tidak boleh mengalas tugasnya atas kepentingan kerajaan. Begitu juga senario pelantikan penasihat peribadi kepada Perdana Menteri,” tegas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Dapatkan nasihat

Berikutan itu, Hassan yang juga merupakan seorang peguam menasihati Kerajaan Perpaduan supaya mendapatkan nasihat daripada Peguam Negara sama ada kaedah pelantikan ahli politik menjawat jawatan kerajaan dengan tawaran khidmat ‘pro bono’ adalah sah di sisi undang-undang.

"Ini penting kerana sebarang keputusan kerajaan termasuk keputusan dibuat duta dan penasihat Perdana Menteri yang berkhidmat secara ‘pro bono’ ini bakal terdedah kepada prosiding semakan kehakiman.

"Jika Anwar membuat sesuatu keputusan atas nasihat penasihatnya yang dilantik secara tidak sah dari segi undang- undang kontrak, maka keputusan beliau boleh dianggap salah dari segi prosedur tatakelola tadbir urus negara.

"Ini kerana Anwar seolah-olah membuat keputusan berasaskan cadangan penasihat yang bukan terdiri lantikan penjawat awam sah, tetapi orang luar yang bukan penjawat awam,” jelas Hassan lagi.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Yahya Mat Shaari berbeza pendapat dengan melihat trend pelantikan ahli politik memegang jawatan kerajaan secara ‘pro bono’ adalah satu tradisi yang perlu dialu-alukan.

Jelasnya, dari segi agama dan hukum memang tiada kesalahan lantikan sebegitu dibuat kerajaan asalkan ia membabitkan individu yang memang pakar dalam bidang dilantik.

"Yang menjadi kesalahan bila pelantikan itu mewajarkan pemusatan kuasa selain perolehan imbuhan kepada individu berkenaan, contohnya seperti pelantikan duta-duta khas bertaraf menteri sewaktu pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.

"Tetapi dalam pelantikan Nurul Izzah, beliau tidak menerima imbuhan dan sekadar dilantik memegang jawatan bukan eksekutif.

"Saya fikir trend ahli politik atau korporat dilantik jawatan kerajaan secara ‘pro bono’ perlu digalakkan lagi kerana amalan ini tidak ambil duit rakyat, menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan paling penting, membolehkan kelompok negarawan berjasa kepada negara tanpa mengharapkan balasan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca