SUKAN menyatupadukan rakyat. Inilah semangat perpaduan yang menjadi pegangan masyarakat pelbagai kaum dan agama apabila sesuatu pertandingan sukan melibatkan pasukan negara atau mana-mana atlet sukan bertarung atas nama Malaysia. Namun,... Klik di sini untuk terus membaca

SUKAN menyatupadukan rakyat. Inilah semangat perpaduan yang menjadi pegangan masyarakat pelbagai kaum dan agama apabila sesuatu pertandingan sukan melibatkan pasukan negara atau mana-mana atlet sukan bertarung atas nama Malaysia.

Namun, beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini seolah-olah memberi gambaran bahawa walaupun sukan diterima sebagai antara instrumen terbaik dalam memperkasakan perpaduan nasional, semangat muhibah tidak semestinya dibawa oleh semua atlet sukan.

Kontroversi kenyataan berbaur perkauman yang melibatkan pemain hoki negara, Hanis Nadiah Onn dan bekas pemain badminton negara, Bong Guan Yik ternyata terlalu menyakiti hati peminat-peminat sukan sehingga mengundang kritikan setiap pelosok masyarakat.

Sama ada sengaja atau tidak, kenyataan negatif itu telah dilontarkan, kerosakan telah berlaku dan akhirnya kedua-dua atlet sukan berkenaan tampil meminta maaf secara terbuka.

Bagaimanapun, permohonan maaf itu sudah terlambat kerana dalam era media sosial, setiap kebaikan atau kejahatan pantas disebarkan dan dirasai impaknya.

Akibat daripada tindakan tersebut, Hanis Nadiah kini digantung daripada mewakili skuad hoki negara, manakala Guan Yik yang bekerja di China pula menerima teguran keras daripada legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Setiap individu seolah-olah mempunyai imuniti tanpa sempadan dalam diri mereka dan menyebar kandungan bersifat provokasi, sensasi serta menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Insiden melibatkan Hanis Nadiah dan Guan Yik bukan sesuatu yang baharu. Jika kita meluangkan sedikit masa melayari pelbagai platform media sosial termasuk Twitter, Instagram, TikTok dan Facebook, jangan terkejut sekiranya anda melihat serta membaca kandungan-kandungan keras yang menghina kaum, agama, budaya dan segala maki hamun. Ia dibuat oleh individu atau kumpulan yang tidak lagi berselindung di belakang nama samaran.

Penyebaran fitnah dan tuduhan-tuduhan liar tanpa fakta serta kenyataan-kenyataan terbuka yang amat kontroversi termasuk menuduh sesuatu kaum tertentu sebagai malas atau menjadi punca kepada amalan rasuah, malah ugutan untuk sembelih seseorang yang tidak seagama, itu semua bukan skrip filem sensasi atau sedutan telenovela.

Ia adalah kenyataan-kenyataan yang dipaparkan secara terbuka menerusi tulisan dan video yang dirakam, ditonton serta dikongsi setiap hari menerusi media sosial.

Senario tersebut amat tidak sihat dan semakin memudaratkan negara kerana kandungan-kandungan toksik itu kekal abadi dalam dunia maya untuk tatapan, malah boleh didapati semudah satu klik di laman Google.

Tetapi kerana politikus-politikus lebih cenderung merebut kuasa dan dibutakan oleh perasaan hasad benci, masyarakat diheret ke satu tahap ‘budaya najis’ yang dihalalkan oleh pertarungan kuasa politik.

Tatkala negara-negara lain mengorak langkah ke hadapan demi survival ekonomi dan kestabilan sosial masing-masing menerusi pelaksanaan dasar serta kaedah yang praktikal, apa keutamaan Malaysia sekiranya anda melayari perkembangan semasa di media sosial?

Isu etika pakaian, misalnya. Perdebatan sengit antara netizen sampai ke tahap menyentuh Rukun Negara – mengenai apa yang perlu rakyat biasa pakai ketika membuat laporan di balai polis atau mendapat rawatan di hospital.

Ia menyebabkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan terpaksa membuat kenyataan mengenai satu insiden kecil yang seharusnya boleh diselesaikan di lokasi masing-masing dengan muhibah.

* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.

Klik di sini untuk terus membaca