KAHRAMANMARAS - Bencana gempa bumi dahsyat yang menggoncang tenggara Turkiye dan barat laut Syria kini memasuki hari ke-12 dengan harapan untuk menemui mangsa terselamat semakin tipis.
Ketika ini jumlah kematian di kedua-dua negara itu melebihi 41,000 orang dan jumlah tersebut dijangka bertambah dari masa ke masa.
Waris dan ahli keluarga mangsa kini hanya mampu berdoa agar insan kesayangan mereka dapat ditemui serta dikeluarkan, sama ada dalam keadaan hidup mahupun sudah tidak bernyawa.
Di Turkiye, pasukan penyelamat antarabangsa yang mengendalikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih mengesan serta menemui mangsa hidup yang terperangkap lebih 240 jam di bawah sisa runtuhan bangunan.
Bagaimanapun, operasi pencarian di Syria telah dihentikan di beberapa kawasan.
Pendedahan kepada cuaca sejuk berpanjangan menyebabkan risiko hipotermia yang boleh membawa kematian.
Pakar kesihatan awam sebelum ini memberi amaran bahawa mangsa yang terperangkap hanya mampu bertahan selama sekurang-kurangnya lapan hari, bergantung kepada beberapa faktor termasuk sama ada mereka mempunyai akses kepada air dan udara, keadaan cuaca serta tahap kecederaan.
Gegaran gempa bumi berkekuatan 7.8 skala Richter dan dianggap ‘kiamat kecil’ oleh penduduk yang terselamat turut dirasai di Cyprus serta Lubnan.
Turkiye juga mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.
Sementara itu, harapan untuk bantuan disalurkan secepat mungkin ke beberapa kawasan terjejas teruk di Syria kembali cerah selepas Presiden Bashar al-Assad memberi kebenaran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menggunakan dua lagi pintu sempadan yang berhubung dengan Turkiye bagi misi kemanusiaan.
Kebenaran tersebut membolehkan anggota sukarelawan masuk ke Syria melalui kesemua tiga pintu sempadan termasuk lintasan Bab al-Hawa.
Sebelum ini, rejim Bashar menutup kedua-dua pintu sempadan berkenaan bagi menangani ancaman kumpulan pemberontak yang menguasai beberapa wilayah di negara itu. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca