KESATUAN Eropah (EU) telah membuat keputusan untuk mengharamkan penggunaan enjin petrol dan diesel menjelang 2035 iaitu 12 tahun dari sekarang.
Ketika itu kenderaan elektrik (EV) akan digunakan sepenuhnya dan ia adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk menjaga alam sekitar serta mengurangkan karbon menjelang 2050.
Berdasarkan laporan Panel Antara Kerajaan untuk Perubahan Iklim (IPCC) kelima, pelepasan karbon global dianggarkan sekitar 36 bilion tan setahun dan diunjurkan akan meningkat secara beransur-ansur di semua negara.
Statistik terkini menunjukkan China dianggap sebagai penyebar karbon dioksida terbesar di dunia, menyumbang lebih satu perempat pelepasan, diikuti 15 peratus, 10 peratus, tujuh peratus dan lima peratus, masing-masing dari Amerika Syarikat (AS), Eropah, India serta Rusia.
Berdasarkan laporan Climate Analytics pula, Asia Tenggara adalah antara wilayah paling mudah terdedah di dunia, dengan pertambahan populasi besar dan terdedah kepada risiko iklim yang tinggi kerana pelepasan karbon yang semakin meningkat.
Oleh yang demikian, Malaysia perlu mempunyai dasar dan agenda besar untuk menjaga alam sekitar.
Sinar Harian pernah mendapatkan respons daripada pakar automotif tempatan berhubung penggunaan EV di negara ini.
Menurut pakar berkenaan, Malaysia selalunya akan ketinggalan 10 tahun berbanding negara-negara maju.
Pada ketika ini, bilangan EV yang berdaftar di negara ini hanyalah sebanyak 2,000 unit.
Sebagai rujukan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pernah melaporkan sebanyak 33.05 kenderaan didaftarkan sejak tempoh 75 tahun lalu, namun tidak diketahui jumlah sebenar kenderaan yang sedang digunakan ketika ini.
Sementara itu, pada Oktober 2021, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang merupakan Menteri Kewangan ketika itu telah membentangkan Bajet 2023 dengan memberi tumpuan kepada EV.
Dalam pembentangan tersebut, kerajaan bercadang melanjutkan pengecualian duti import dan eksais EV untuk kenderaan EV import sepenuhnya.
Bagi menyokong industri EV negara, kerajaan juga akan mengecualikan fi Permit Import (AP) bagi mengimport kenderaan EV sehingga 31 Disember 2023.
Pengilang peralatan pengecasan EV juga bakal mendapat manfaat menerusi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun dan Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus.
Dalam Bajet 2022, kerajaan menawarkan pengecualian duti import dan eksais 100 peratus serta cukai jalan sifar bagi EV CBU dan pengecualian duti 100 peratus untuk EV pemasangan tempatan (CKD) sehingga akhir tahun 2025.
Disebabkan berlaku pilihan raya pada November tahun lalu dan pertukaran kerajaan, bajet tersebut tidak dapat dilaksanakan.
Jadi, kita perlu menunggu pengumuman bajet baharu pada 24 Februari ini bagi mengetahui langkah-langkah kerajaan berhubung perkara tersebut.
Bagaimanapun, pada masa ini penggunaan EV masih lagi mahal dan untuk mereka yang berkemampuan sahaja.
Menurut seorang pengguna EV jenama Tesla, kos mengecas kenderaan itu bagi jarak perjalanan 500 kilometer ialah RM120 dan insurans dikenakan sebanyak RM11,000 setahun.
Pemilik kereta tersebut menyarankan agar pengguna mengecas kenderaan elektrik mereka di rumah bagi mengurangkan kos.
Malah fasiliti bagi mengecas EV juga tidak banyak di negara ini dan buat masa ini terdapat kira-kira 900 stesen pengecas EV di seluruh negara.
Difahamkan, jumlah berkenaan akan bertambah sehingga 10,000 menjelang 2025.
Klik di sini untuk terus membaca