SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan terdapat penyaluran Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM4 juta kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli atau jawatankuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan terdapat penyaluran Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM4 juta kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli atau jawatankuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

LKAN Tahun 2021 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Khamis itu menyatakan, DKD berkenaan disalurkan kepada enam syarikat yang mempunyai kepentingan antaranya milik ahli lembaga pengarah itu sendiri, isteri, anak, ahli keluarga serta pegawai khas.

Antara syarikat yang dinamakan adalah 487600-U milik isteri dan anak Ahli Lembaga Pengarah 2 bagi Projek 17: Rain Town bernilai RM2 juta; syarikat 1186173-U milik Ahli Jawatankuasa Finas yang juga Pegawai Khas kepada Ahli Lembaga Pengarah 5 bagi Projek 21: Diari Seorang Pendosa bernilai RM600,000 dan 984538-P milik adik kepada Ahli Lembaga Pengarah 5 bagi Projek 20: Penculikan Leha Lawa bernilai RM600,000.

Mengikut Subseksyen 14(1) Akta Finas 1981 (Akta 244), seseorang yang dilantik sebagai ahli perbadanan, ahli jawatankuasa atau yang mempunyai hubungan dengan Finas tidak boleh mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dengan badan, pertubuhan atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti mengeluar, mengedar dan mempamer filem serta mempunyai kontrak dengan Finas.

Justeru, laporan tersebut mendapati, pemberian DKD kepada syarikat berkaitan ahli perbadanan itu telah menyebabkan berlakunya percanggahan kepentingan kerana pemilik syarikat juga merupakan ahli yang berkepentingan selain tiada penguatkuasaan terhadap Akta 244.

Dalam pada itu, semakan maklum balas yang diperoleh daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) memaklumkan, Mesyuarat Ahli Perbadanan Finas pada September 2022 telah memutuskan untuk mengemukakan surat rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memohon siasatan kes berkaitan penyaluran DKD tersebut.

Sementara itu, semakan laporan berkenaan turut mendapati dua projek melibatkan Bahagian Pembangunan Kandungan K-KOMM dan enam projek Finas berjumlah RM7.98 juta gagal disiapkan sehingga 31 Mei 2022.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4 juta atau 50.1 peratus telah dibuat pembayaran kepada penerima DKD.

Kegagalan syarikat menyiapkan projek mengakibatkan kerugian kepada kerajaan ekoran tidak mendapat pulangan daripada dana yang dibayar.

Klik di sini untuk terus membaca