SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mendedahkan kenaikan gaji di Malaysia adalah lebih tinggi daripada kadar peningkatan produktiviti sejak lapan tahun lalu. Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, jurang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mendedahkan kenaikan gaji di Malaysia adalah lebih tinggi daripada kadar peningkatan produktiviti sejak lapan tahun lalu.

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, jurang perbezaan kenaikan gaji dan produktiviti di Malaysia melebihi 17 peratus dalam tempoh lapan tahun.

"Gaji yang diberikan adalah berdasarkan produktiviti serta prestasi pekerja dan majikan. Kebanyakan pemegang taruh tidak mengetahui bahawa kadar kenaikan gaji di Malaysia ini adalah lebih tinggi daripada kadar peningkatan produktiviti.

"Bagi tahun 2011 hingga 2019, jurang perbezaan kenaikan gaji dan produktiviti adalah sebanyak 17.1 peratus. Ini bermakna kenaikan gaji melebihi kadar produktiviti,” katanya kepada Sinar Premium.

Selain itu, Syed Hussain berkata, gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa pada 1 Mei 2022 akan menyaksikan peningkatan sebanyak 25 peratus daripada gaji minimum sebelumnya iaitu RM1,100 ke RM1,200.

"Kini, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 kepada majikan mikro ditangguhkan sehingga Julai tahun ini. Berdasarkan peruntukan Seksyen 4(1) (b) di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, gaji minimum hendaklah dilaksanakan mengikut kawasan, sektor dan jenis pekerjaan,” jelasnya.

Syed Hussain berpandangan, unjuran kenaikan gaji sehingga 20 peratus itu sukar untuk direalisasikan di saat kebanyakan perusahaan masih berusaha untuk membaik pulih ekonomi perniagaan mereka selepas pandemik Covid-19.

"Bagi saya, kenaikan gaji sehingga 20 peratus adalah terlalu tinggi apabila kebanyakan majikan di Malaysia masih berusaha untuk memulihkan perniagaan mereka selepas pandemik Covid-19 dan banjir tahun lalu.

"Tahun 2023 juga diramalkan sebagai tahun yang sukar yang mana kenaikan KDNK global adalah sekitar dua hingga tiga peratus sahaja. Keadaan ekonomi dunia juga masih tidak stabil ekoran dari konflik Rusia-Ukraine,” ujarnya.

Tiba masanya dasar Reformasi Gaji Negara dilaksanakan - MTUC

Sementara itu, kerajaan dicadangkan supaya melaksanakan dasar Reformasi Gaji Negara yang tidak sekadar menumpukan usaha penetapan akta gaji minimum dalam kalangan pekerja swasta semata-mata.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi sebaliknya perlu menyemak semula Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 bagi membolehkan inisiatif mereformasikan kadar gaji pekerja di Malaysia dapat direalisasikan.

Beliau berkata, perkara itu amat penting bagi memastikan tawaran gaji kepada rakyat negara ini adalah selaras dan setimpal dengan kelayakan akademik, kemahiran, pengalaman dan kreativiti yang mereka miliki.

"Apabila isu penetapan kadar gaji negara disandarkan kepada akta gaji minimum semata-mata, kerajaan seolah-olah menyerahkan sepenuhnya proses penentuan perkara itu kepada pasaran pekerjaan dan senario ekonomi semasa semata-mata.

"Langkah itu tidak memberi keadilan kepada golongan pekerja. Majikan juga pasti akan lebih bermasalah untuk menggajikan pekerja tempatan pada masa depan kerana golongan muda kurang berminat dengan tawaran gaji rendah dan lebih tertarik menyertai sektor ekonomi gig.

"Masalah sebegini turut menyebabkan akan berlaku kebergantungan terlalu tinggi terhadap tenaga kerja asing. Jika kerajaan tidak ambil serius meningkatkan kadar gaji pekerja di setiap peringkat, beban akhir kadar gaji rakyat yang tidak setimpal akan ditanggung semula kerajaan dalam bentuk subsidi untuk jangka masa panjang,” katanya kepada Sinar Premium.

Kamarul Bahrin juga mendedahkan, Jawatankuasa Kerja MTUC kini sedang berkolaborasi dengan kumpulan penyelidik daripada Universiti Malaya (UM) untuk menyiapkan kertas kerja cadangan pelaksanaan dasar Reformasi Gaji Negara yang boleh dijadikan panduan kepada kerajaan.

Ujar beliau, antara input penting ditekankan MTUC dalam kertas kerja berkenaan ialah cadangan mewajibkan majikan melaksanakan skim kenaikan gaji tahunan bagi memastikan gaji pekerja swasta akan menjadi lebih progresif.

Klik di sini untuk terus membaca