PUTRAJAYA - Orang ramai khususnya penduduk di Putrajaya mendesak kerajaan meneruskan projek Monorel Putrajaya di Presint 3 yang mula dibina pada tahun 2000 namun terbengkalai sejak 2004.
Tinjauan Sinar Harian pada Jumaat mendapati rata-rata mereka yang ditemui berharap supaya projek berkenaan diteruskan.
Penduduk Presint 11, Darul Mustapha, 44, berkata, ada baiknya projek berkenaan diteruskan daripada terbiar begitu sahaja kerana ia dijangka memberi manfaat kepada penduduk sekitar Putrajaya.
"Kami kesal kerana projek yang mengeluarkan belanja besar kerajaan tidak dapat disiapkan sedangkan ia adalah keperluan rakyat Putrajaya,” katanya yang tinggal di sini selama 11 tahun.
Zahid Mohd Razali, 30, pula berpandangan pembangunan terancang seperti bandar Putrajaya sewajarnya mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang cekap.
"Kalau tahu ia tidak mendatangkan manfaaat, kenapa diteruskan juga projek monorel itu dahulu? Sekarang belanja sudah keluar, bukankah itu pembaziran?” soalnya.
Penjawat awam, Khusyairi Ahmad, 38, berkata, jika pengangkutan awam seperti monorel dapat direalisasikan, ia akan memudahkan orang ramai khususnya penjawat awam ke tempat kerja masing-masing.
"Waktu puncak bila semua hendak pulang serentak jalan cukup sesak dan ketara apabila tibanya bulan Ramadan,” katanya yang bertugas di Kementerian Pendidikan Presint 1.
Sementara itu, Ridzuan Abd Khalid, 32, berkata, Putrajaya memerlukan pengangkutan awam yang efisyen memandangkan jumlah penduduknya yang bertambah setiap masa.
"Kalau 15 tahun lalu mungkin boleh letak kereta di bahu jalan tapi sekarang bahu jalan pun sudah penuh. Tidak dapat dinafikan MRT dan LRT turut jadi piilhan penduduk untuk keluar.
"Monorel ini boleh bergerak dalam Putrajaya pun sudah memadai kerana kawasan ini besar dan keselamatan juga terjamin,” katanya yang tinggal di kuarters Balai Polis Presint 11.
Dalam pada itu, Sharul Azhar, 26, berkata, setiap hari dia akan berulang alik memandu dari rumahnya di Cyberjaya ke tempat kerja di Putrajaya.
"Kalau monorel ini ada memang dapat kurangkan kos dan masa perjalanan kerana jalan keluar dari Putrajaya setiap hari sesak, tambah pula jika hujan,” ujarnya.
Pada Khamis, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 mendedahkan, berlaku pembaziran dalam pengurusan pembangunan Putrajaya melibatkan sejumlah RM812.91 juta setakat 31 Disember 2021.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, pembaziran itu melibatkan penangguhan projek monorel di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan berjumlah RM797.18 juta termasuk penyenggaraan terowong pengangkutan awam itu bernilai RM2.16 juta.
Beliau berkata, tahap penawaran perkhidmatan bas adalah rendah, manakala depoh bas di Presint 14 yang tidak digunakan berjumlah RM12.21 juta selain penggunaan infrastruktur park & ride tidak mengikut tujuan asal bernilai RM1.36 juta.
Dapatan audit juga mendapati tiga daripada enam mod pengangkutan yang disasarkan masih belum digunakan.
Klik di sini untuk terus membaca