SHAH ALAM - Harapan pekerja tempatan di negara ini untuk menikmati kenaikan kadar gaji tahunan sehingga 20 peratus bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup sebagaimana unjuran badan penyelidikan ekonomi bebas, Randstad mungkin tidak akan menjadi kenyataan.
Ini kerana data nisbah perbelanjaan gaji pekerja merangkumi keseluruhan sektor industri dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan Malaysia masih jauh ketinggalan iaitu hampir dua kali ganda berbanding negara-negara maju lain.
Perkara itu dibuktikan menerusi pengiraan bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berdasarkan laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Menerusi laporan tersebut, Kulasegaran mendedahkan, nisbah gaji pekerja daripada KDNK negara berada pada 20 hingga 25 peratus, atau 20 hingga 25 sen bagi setiap nilai RM1, berbanding 40 hingga 45 peratus di kebanyakan negara maju.
Berikutan itu, beliau berpandangan, laporan tersebut membuktikan bayaran gaji pekerja di Malaysia adalah terlalu rendah.
"Ini bermakna majikan membuat keuntungan yang luar biasa. Angka itu adalah antara yang terendah berbanding negara Asia lain seperti Singapura yang membelanjakan 40 peratus daripada KDNK sebagai upah kepada pekerja.
"Sekiranya Singapura boleh membuat kelonggaran gaji sedemikian dan majikan di sana masih kaya raya, mengapa tidak di Malaysia?
"Di negara luar, upah kepada pekerja rata-ratanya melebihi 60 peratus daripada KDNK. Gaji di Malaysia terlampau rendah kerana kita tidak sampai separuh daripada angka tersebut,” katanya kepada Sinar Premium.
"Perlunya kenaikan gaji terutama umur 16 hingga 30 tahun. Sekiranya kita dapat memberi galakan sedemikian, pekerja akan gembira mendapat gaji lumayan, malah negara juga akan lebih makmur.
"Tak mustahil kenaikan gaji adalah perkara yang positif. Kita sudah terlalu lama bergantung pada pekerja asing,” ujarnya.
Jelas Ahli Parlimen Ipoh Barat itu lagi, sekiranya kenaikan gaji dapat direalisasikan, pekerja juga perlu meningkatkan kemahiran selari dengan usaha kerajaan.
"Semasa saya menjadi Menteri Sumber Manusia, saya mencadangkan kenaikan gaji selari dengan produktiviti. Sekarang kita sudah mengurangkan waktu bekerja dari 48 kepada 45 jam.
"Sayangnya, perkara ini tidak diberi keutamaan oleh majikan di Malaysia kerana bimbang kemungkinan pekerja mereka berhijrah ke tempat lain atau menuntut gaji lebih tinggi,” ujarnya.
Menurut Laporan Pasaran Pekerjaan dan Trend Gaji 2023 yang diterbitkan oleh Randstad, kenaikan kos sara hidup dan peningkatan inflasi di Malaysia memberikan kesan terhadap kemampuan rakyat untuk membiayai barangan keperluan serta gaya hidup.
Oleh itu, pekerja di negara ini dijangka menerima pelarasan gaji tiga hingga 20 peratus bergantung kepada industri, dengan industri pertumbuhan tinggi seperti teknologi dan pembuatan bakal menyaksikan perubahan lebih besar dalam struktur gaji dalaman.
Kerajaan tiada kuasa tentukan kenaikan gaji swasta
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, kerajaan tidak mempunyai kuasa dalam menentukan kadar peratusan kenaikan gaji yang patut dipertimbangkan majikan dan syarikat swasta di negara ini.
Menurutnya, unjuran pekerja Malaysia untuk menerima kenaikan atau pelarasan gaji baharu bergantung sepenuhnya terhadap pasaran pekerjaan serta prestasi ekonomi negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, kerajaan menyokong penuh hasrat mana-mana majikan jika mahu membayar kadar gaji pekerja melebihi nilai gaji minimum RM1,500 sebulan yang ditetapkan sebelum ini.
"Permintaan untuk kenaikan gaji itu sentiasa ada tetapi ini bergantung kepada kemampuan majikan itu sama ada mereka mampu atau tidak untuk menaikkan gaji pekerja mereka.
"Kementerian tidak mempunyai kuasa untuk menentukan majikan perlu membayar pekerja lebih daripada gaji minimum yang ditetapkan.
"Kami hanya boleh memberi galakan tetapi ia akan ditentukan oleh pasaran pekerjaan dan prestasi ekonomi negara,” katanya.
Sivakumar bagaimanapun menjelaskan, gaji tetap akan meningkat secara perlahan-lahan bergantung kepada keadaan ekonomi semasa.
"Sekiranya ekonomi baik, sudah tentu akan ada peluang untuk peningkatan gaji. Tapi, untuk kita menjangkakan berapa peratus gaji akan dinaikkan itu agak sukar.
"Sedia maklum, kita sedang menghadapi situasi di mana inflasi meningkat dan kos sara hidup tinggi. Sekiranya ekonomi merudum, kita tidak boleh mengharapkan majikan menaikkan lagi gaji pekerja kerana keuntungan mereka akan terganggu,” katanya.
Sivakumar juga menjelaskan, pertimbangan majikan untuk menaikkan kadar gaji pekerja juga bergantung kepada jenis pekerjaan.
"Jika permintaan untuk sesuatu pekerjaan itu terlalu rendah tetapi penawaran tenaga buruh sangat tinggi, ia boleh menjadi faktor yang menolak gaji menjadi tinggi,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca