MEMANG benar ulama-ulama terdahulu tidak memiliki sebarang ijazah. Adalah juga benar Nabi Muhammad SAW seorang ummi (buta huruf), tidak mendapat pendidikan formal seperti kita dan tidak memiliki ijazah. Benar juga jika kita mengatakan... Klik di sini untuk terus membaca

MEMANG benar ulama-ulama terdahulu tidak memiliki sebarang ijazah. Adalah juga benar Nabi Muhammad SAW seorang ummi (buta huruf), tidak mendapat pendidikan formal seperti kita dan tidak memiliki ijazah.

Benar juga jika kita mengatakan segulung ijazah bukan prasyarat menjadi pemimpin yang berkaliber. Pemimpin kemerdekaan yang melawan British dahulu rata-ratanya tidak memiliki ijazah tetapi berjaya membawa perubahan dan menjadi pemangkin kepada kemerdekaan negara.

Namun, persoalan berlainan jika seseorang tidak memiliki kelulusan mengaku mempunyai kelulusan tertentu. Ia melambangkan ketidakjujuran seseorang memberi gambaran terhadap diri mereka sendiri.

Hak seseorang untuk belajar sama ada dari institusi diiktiraf atau tidak, adalah pilihan mereka sendiri dan tidak wajar dipersoalkan.

Tiada salahnya belajar di institusi yang tidak diiktiraf kerajaan Malaysia tetapi mereka perlu akur bahawa mereka tidak mendapat keistimewaan dengan kelulusan yang tidak diiktiraf itu.

Cuma apa yang perlu diselidiki adalah sama ada kelulusan tersebut benar-benar diperoleh melalui sistem pembelajaran yang diterima atau sekadar membelinya sahaja. Perkara itu perlu disiasat kerana ia menjejaskan kredibiliti seseorang.

Fenomena mendapat kelulusan segera tanpa pembelajaran sebenarnya bukan hanya melanda dalam kalangan ahli politik kerana ia juga berlaku dalam kalangan profesional seperti peguam, doktor perubatan, jurutera, arkitek dan lain-lain profesion. Malah, hal yang sama juga dikatakan berlaku dalam kalangan ahli akademik.

Bagi saya, isu yang tular beberapa tahun lalu harus dilihat dari aspek kebenarannya, bukan siapa yang terlibat. Saya percaya lebih ramai lagi yang terlibat dalam isu seperti ini dan ia perlu ditangani dengan segera secara holistik.

Jika ia tidak segera ditangani, dikhuatiri hal sebegini akan menjadi budaya dan tidak dapat dibendung lagi, sekali gus mula membarah dalam masyarakat.

TERCEMAR

Akhirnya nama negara akan tercemar dan Malaysia dilihat dipenuhi oleh orang yang memiliki kelulusan palsu.

Akibatnya, mereka yang benar-benar memiliki ijazah tulen, berhempas pulas mengulang kaji pelajaran dan mengkaji ilmu juga akan disyaki kelulusan mereka.

Malah, dalam kalangan pelajar pula, ia menjadi bualan. Mereka hilang tumpuan kepada pelajaran kerana percaya bahawa kelulusan boleh diperoleh dengan mudah tanpa perlu berusaha.

Pelajar tidak lagi melihat kecemerlangan adalah sesuatu perlu dikejar kerana kelulusan yang tidak menagih susah payah pun dikatakan kelulusan yang benar.

Apabila isu tersebut disandarkan pula kepada ulama dan nabi yang tidak memiliki ijazah rasmi, seolah-olah sistem pembelajaran sebegini tidak lagi penting kepada pelajar.

Perlu diingatkan bahawa Nabi Muhammad SAW mendapat ‘ijazah’ secara shafawi (lisan) terus daripada para malaikat.

Ulama juga mendapat ijazah terus secara lisan dengan bertalaqqi bersama guru-guru mereka kerana sistem pendidikan ketika itu sangat berlainan dengan apa yang ada ketika ini.

Undang-undang lebih ketat perlu digubal bagi mengekang penggunaan ijazah atau kelulusan palsu sama ada ia bersifat menghalang seseorang membuat representasi memiliki suatu kelulusan yang tidak diiktiraf atau menjadikan suatu kesalahan menggunakan kelulusan palsu.

Undang-undang juga perlu digubal bagi menyeragamkan dan mengawal penggunaan gelaran seperti doktor (Dr), profesor, Drs, Datuk, Dato’ dan banyak lagi.

Suatu pusat perlu diwujudkan bagi mendaftar penggunaan gelaran-gelaran itu dan akses diberikan kepada orang awam bagi menyemak gelaran tersebut agar ia tidak mudah disalahgunakan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Klik di sini untuk terus membaca