PADA 28 Julai 2022, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga selepas bacaan kali ketiga dibuat.
Kesannya, kerajaan hari ini wujud apabila langkah sebagaimana 2018 yang sembarangan dapat dibendung walaupun ura-uranya ada.
Satu lagi undang-undang yang dapat melengkapi akta bertukar parti ialah Akta Pendanaan Politik.
Ia boleh diikat dengan Akta Pilihan Raya 1957, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1958, Peraturan Pilihan Raya 1981, 2002 dan 2003 yang kerap diguna pakai sewaktu kempen pilihan raya.
Ia sejajar dengan timbulnya beberapa isu kebelakangan ini yang disabitkan dengan dana disalurkan kepada pengoperasian parti politik.
Walaupun sebahagiannya sedang disiasat, ada sebahagiannya sudah ada yang turut melibatkan salah laku kuasa dan kedudukan untuk memberikan kepentingan tertentu.
Ada juga dikaitkan dengan ratusan bilion disorok bagi tujuan sokongan politik dan ada pula ‘berlebihan’ pada pilihan raya lalu. Ia juga masih menunggu untuk diselesaikan penyiasatannya.
Tidak ada undang-undang sehingga hari ini untuk menjelaskan kewangan tersusun dana politik dari luar mahupun dalam negara. Hatta, matlamat dana politik adalah untuk memastikan sumbernya jelas dan dipertahankan keadilan yang saksama.
Penglibatan golongan berkemampuan luar biasa mendapat kelebihan berbanding yang ada kewibawaan tetapi tiada ‘pelincir’.
Perubahan persekitaran dan struktur alam politik memerlukan isu pembiayaan dana politik diberikan perhatian serius.
Pada 2015, Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik ditubuhkan dan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik pernah dicadangkan pada tahun berikutnya tetapi ia ditolak.
Pada 2019, Kerangka Perundangan bagi RUU tersebut dibawa kerajaan pada Parlimen sehingga disyorkan ke Jawatankuasa Pilihan Khas menimbang RUU ini dibincangkan tetapi gagal dibawa.
Pada November 2022, dicadangkan untuk bacaan pertama dan kedua dilakukan di Parlimen tetapi tidak berlaku kerana pembubaran Parlimen. Kini ia dikatakan sudah bersedia.
Ia penting bagi mengelak amalan yang dianggap songsang dengan pendemokrasian berhemah. Ia juga wajar untuk elak risiko rasuah, salah guna kuasa yang boleh memberi kesan negatif ke atas negara.
Keazaman dan integriti politik penting untuk dijadikan sebagai petunjuk jika benar-benar mahu ia diwartakan.
Beberapa perkara juga mesti diberikan tumpuan, antaranya takrifan ke atas derma, rasuah, politik wang dan dana sumber politik haram. Ia boleh bersifat langsung dan tidak langsung.
Pemberian pembayaran untuk sesuatu yang mendatangkan ganjaran atau faedah mahupun pemberi mendapat habuan atau keistimewaan perlu dihalusi.
Begitu juga soal khuatir untuk mendedahkan identiti pembiayaan kerana kesan hilang pengaruh atau sokongan.
Kewujudan akta ini boleh mengawal pembudayaan politik wang. Penubuhan suruhanjaya bebas yang mengawal selia keluar masuk dana ini akan membolehkan badan tersendiri memantau dan memastikan ia telus, kompeten dan mempunyai akauntabilitinya.
Kewibawaan dan unjuran dana boleh menjadikan politik negara lebih bersih daripada persepsi yang digembar-gemburkan.
Jika kini bergantung pada yuran keahlian dan organisasi yang menyokong secara tidak langsung, sudah tiba masanya parti dan calon serta kepimpinan menampakkan kesungguhan untuk mempunyai peraturan yang memantau dan dijadikan panduan.
Misalnya, di Amerika Syarikat (AS), ada sumbangan di bawah AS$200 dan ada pula melebihi AS$200 dengan Jawatankuasa Tindakan Politik mengawal selia.
Di United Kingdom pula, ada yuran keahlian, derma dan sumber negeri untuk aktiviti politik kepartian.
Akta tersebut diharap dapat membawa penyelesaian kelayakan penyumbang, jumlah dan proses pemantauan termasuk audit yang telus. Begitu juga yang menerima dalam bentuk sumbangan, sogokan atau ‘sedekah’ perlu juga diadili.
Pemberi dan penerima bertanggungjawab bersama ke atas peruntukan, pengagihan serta penggunaan yang tidak menyalahi undang-undang.
Demokrasi akan terancam jika perbelanjaan dan sumbangan tidak dinyatakan, dan tidak ada hadnya termasuk keabsahan sumber dalaman serta asing yang kini diwartakan hampir 116 negara yang sudah mempunyai undang-undang ini.
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca