BELALANG tidak pasti adakah ini trend atau bagaimana. Tiba-tiba sejak dua menjak ini, status dan komen pedas membangkitkan kebencian agama dan bangsa terutama di sosial media semakin menjadi-jadi.
Ada isu atlet memberi komen sarkastik mengenai sebuah konsert di sosial media. Tidak lama selepas itu timbul pula cerita kononnya ada guru menggalakkan pelajar memeluk Islam untuk meningkatkan peluang bermain bola.
Dan yang paling tidak boleh diterima apabila seorang bekas atlet badminton tergamak mendakwa pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah teruk kerana diuruskan oleh kaum Melayu yang dianggapnya sebagai pemalas.
Tidak cukup dengan itu, dia menuduh sembahyang yang dilakukan oleh umat Islam selama lima kali sehari menunjukkan orang Melayu tidak mempunyai niat untuk menguruskan BAM.
Isu-isu berkaitan agama dan bangsa ini memang sangat sensitif. Bagi Belalang, ia macam senipis kulit bawang. Kalau tersalah menjaganya memang boleh koyak dan hancur.
Apatah lagi pada zaman moden dengan macam-macam media sosial dari Facebook sehingga ke TikTok, ia lagi cepat panas apabila netizen masing-masing menjadi nasi tambah saling menghentam, menghina dan mencaci.
Seingat Belalang, isu berkaitan komen keras sehingga membangkitkan kebencian agama dan bangsa ini pernah menjadi sangat panas beberapa tahun lalu.
Malah, apabila ia agak tidak terkawal dan memecahbelahkan rakyat, akhbar Belalang pada tahun 2019 mengambil tindakan nekad menganjurkan gerakan ‘Uninstall Hatred, Reboot Malaysia’.
Pada ketika itu, Sinar Harian dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas selama lebih setahun cuba menyebarkan kembali mesej harmoni, bukan sahaja kepada orang Islam, bahkan kepada merentas agama dan bangsa.
Cuma sama ada suratan atau kebetulan, isu-isu panas berkaitan kebencian agama dan bangsa ini biasanya timbul pada zaman Pakatan Harapan menjadi kerajaan di Putrajaya.
Sama ada ia adalah naratif politik pihak tertentu atau terjadi oleh ‘keberanian melampau’ individu terbabit, hanya mereka yang mengetahuinya.
Namun begitu bagi Belalang, Kerajaan Perpaduan perlu bertindak segera apabila muncul isu-isu kebencian agama dan bangsa ini.
Pak menteri di Kementerian Perpaduan tak boleh ambil ringan dan berpeluk tubuh.
Jangan izinkan isu bangsa dan agama ini dijadikan senjata dan alat politik sehingga mengancam kerajaan dan memecahbelahkan rakyat.
Belalang - Jangan sampai ada Uninstall Hatred, Reboot Malaysia 2.0
Klik di sini untuk terus membaca