PARIS - Teori konspirasi mengenai sebuah stesen penyelidikan Amerika Syarikat (AS) menjadi bualan di media sosial yang mengaitkannya dengan bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria angkara Program Penyelidikan Auroral Aktif Frekuensi Tinggi (HAARP).
Selama bertahun-tahun, saintis menafikan bahawa stesen HAARP yang terletak di Alaska dan mempunyai 180 antena radio adalah program sokongan AS untuk mencetuskan bencana alam.
Siri gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria pada 6 Februari sehingga mengorbankan puluhan ribu orang menguatkan lagi teori warganet mengenai penggunaan teknologi tersebut.
Bagaimanapun ia ditolak mentah-mentah oleh pakar dan menggelarnya sebagai sains fiksyen.
Segelintir pengguna media sosial mendakwa kejadian cahaya kilat sebelum gempa bumi adalah bukti kukuh ia bencana buatan angkara HAARP.
Ada yang mendakwa ia sebagai menghukum Turkiye kerana menentang kemasukan negara baharu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
"Ia sangat gila. Ia seperti bertanyakan soalan sama ada gempa bumi disebabkan seekor arnab menggali tanah untuk mendapatkan lobak merah.
"Tiada mekanisme yang diketahui menyebabkan bencana gempa bumi dahsyat seperti yang didakwa angkara HAARP,” kata David Keith, seorang profesor fizik di Harvard School of Engineering and Applied Sciences.
HAARP menghantar gelombang radio untuk memanaskan elektron dalam ionosfera iaitu lapisan atas atmosfera bumi untuk mengkaji kesannya terhadap sistem komunikasi.
Bagaimanapun, gelombangnya tidak cukup besar untuk sampai ke Turkiye.
Sebenarnya bencana gempa bumi berpunca daripada pergerakan kerak bumi.
Pakar memberitahu AFP bahawa cahaya kilat yang dilihat itu adalah fenomena biasa semasa gempa bumi.
Teori berbeza mengenai cahaya tersebut mungkin muncul daripada talian elektrik dari stesen jana kuasa yang digegarkan semasa kejadian gempa bumi berlaku.
Sebelum ini HAARP dikendalikan oleh Tentera Udara dan Laut AS, namun ia kemudiannya diserahkan kepada Universiti Alaska Fairbanks.
TEORI PERUBAHAN IKLIM
Banyak siaran di media sosial mendakwa HAARP digunakan untuk mencetuskan ribut dan gelombang haba.
Matlamatnya bagi mewujudkan perubahan iklim, dengan pihak berkuasa boleh mengehadkan aktiviti atau mengurangkan populasi manusia.
Satu dokumen pernah difailkan pada tahun 1985 semasa kemuncak Perang Dingin bahawa teknologi tersebut digunakan untuk memusnahkan peluru berpandu atau pesawat dan mengubah suai cuaca.
Difahamkan, pemancar HAARP mampu menghantar gelombang radio dari jarak 80 kilometer (km) hingga 500 km di atas permukaan bumi.
"Idea bahawa teknologi mampu menyebabkan peristiwa ekstrem adalah tidak masuk akal.
"Secara teknikalnya ia amat sukar untuk mempengaruhi sistem yang besar dan kompleks seperti cuaca,” kata Ella Gilbert, seorang ahli meteorologi di British Antartic Survey. - AFP
Info HAARP
- Program penyelidikan berkaitan ionosfrea.
- Dikendalikan Tentera Laut dan Udara AS, Universiti Alaska.
- Memancarkan gelombang radio frekuensi ke atas atmosfera.
- Didakwa digunakan untuk mengubah medan magnet bumi
Klik di sini untuk terus membaca