SHAH ALAM - Rata-rata anak muda di negara ini menyedari bahawa perlindungan insurans penting kepada mereka, namun disebabkan kurang kemampuan, tidak ramai yang mampu membelinya. Nur Suhaida Hassan, 19, yang bekerja sendiri mengakui... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rata-rata anak muda di negara ini menyedari bahawa perlindungan insurans penting kepada mereka, namun disebabkan kurang kemampuan, tidak ramai yang mampu membelinya.

Nur Suhaida Hassan, 19, yang bekerja sendiri mengakui keinginan untuk membeli polisi insurans, tetapi kewangan terhad menyebabkan dia terpaksa mengetepikan hasrat tersebut buat sementara waktu.

"Disebabkan pendapatan tidak tetap, saya cuba mengelak apa-apa komitmen yang memerlukan pembayaran tetap setiap bulan kerana khuatir tidak mampu untuk menampung kos perbelanjaan bulanan,” katanya kepada Sinar Premium.

Nur Suhaida berpendapat, harga polisi insurans ketika ini terlalu mahal dan tidak mampu bagi yang bergaji kecil.

Pelajar universiti, Nurul Sabrina Jamali, 23, berkata, wang yang ada cukup-cukup untuk perbelanjaan pengajian dan mustahil untuk membeli insurans.

"Saya mahu mengambil skim perlindungan tetapi sebagai seorang penuntut universiti, banyak perkara lain perlu saya utamakan seperti yuran pengajian dan membeli buku-buku.

"Tetapi sekiranya kerajaan menyediakan insurans yang mampu milik khusus untuk anak muda, sudah tentu saya akan menjadi salah seorang pelanggan polisi berkenaan,” katanya.

Turut berpandangan sama ialah pelajar, Julia Nur Maisarah Joo Yusnizam, 22, yang memaklumkan, wang lebih banyak digunakan untuk keperluan pembelajaran.

"Saya tahu sekarang banyak insurans menawarkan skim perlindungan dengan harga mampu milik dan sesuai dengan tangga gaji seseorang, namun saya masih belum bersedia untuk mempunyai sebarang komitmen,” ujarnya.

Julia bagaimanapun berkata, sekiranya sudah bekerja dan mempunyai kewangan yang stabil, tidak mustahil dia akan membeli polisi insurans.

Dalam pada itu, terdapat juga golongan muda yang membuat pembelian perlindungan takaful walaupun pendapatan diperoleh tidak seberapa.

Pekerja penghantar makanan bermotosikal, Hafizuddin Salehuddin, 23, berkata, dia membeli skim perlindungan untuk melindungi diri sekiranya berlaku musibah yang tidak diingini.

"Sekiranya kerajaan melihat ramai anak muda tidak mengambil insurans, ia bukanlah sebab mereka tiada kesedaran diri, tetapi mereka tidak mampu untuk mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar takaful.

"Jadi alangkah baik sekiranya kerajaan menyediakan satu skim perlindungan yang mampu milik. Sudah tentu ramai di antara anak muda khususnya pekerja penghantar makanan akan melanggannya,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Iqbal Hussin, 25, yang bekerja sendiri turut bersetuju sekiranya kerajaan menyediakan polisi insurans dengan harga berpatutan.

"Saya harap pihak berwajib dapat merealisasikan perkara tersebut kerana purata gaji rakyat tidaklah besar. Sudah menjadi kewajiban pihak pemerintah untuk membantu rakyat yang memerlukan,” ujarnya.

LEBIH 50 PERATUS RAKYAT MALAYSIA TIADA TAKAFUL, INSURANS

Dalam pada itu, lebih 50 peratus rakyat Malaysia masih tidak memiliki perlindungan takaful dan polisi insurans.

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) mendedahkan data itu selepas mengambil kira jumlah bilangan penduduk yang mempunyai lebih satu polisi insurans di negara ini.

Secara umumnya, menurut LIAM, jumlah data penduduk Malaysia yang mempunyai insurans atau takaful ialah sekitar 59.5 peratus.

"Namun setelah ditolak bilangan yang mempunyai lebih daripada satu polisi, jumlah ini berkurangan kepada 41 peratus penduduk. Ini bermakna lebih separuh daripada penduduk Malaysia masih tiada insurans atau takaful,” kata LIAM.

Jelas LIAM, antara faktor golongan anak muda tidak berminat untuk mengambil insurans atau takaful kerana merasakan masih terlalu awal untuk usia seperti mereka mengambil pakej perlindungan tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca