SHAH ALAM - Pakar dietetik mengesahkan Menu Rahmah mempunyai nutrisi mencukupi kerana mengandungi komposisi hidangan berasaskan sumber karbohidrat, protein, fiber dan vitamin mineral yang lengkap dalam diet harian.
Perkara ini sekali gus menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mengatakan menu ini mendedahkan pengguna kepada penyakit kanser dan autisme kerana dikhuatiri mendapat hidangan bermutu rendah.
Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Norhasmah Sulaiman berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana Menu Rahmah mengikuti standard menu sihat seperti disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Bagi saya, nutrisi Menu Rahmah sudah mencukupi sekiranya hidangan dijual adalah ayam atau ikan, nasi dan sayur. Dari segi nutrisi, memang itu yang diajar oleh rakyat Malaysia sejak kecil sebagai menu sihat di Malaysia apabila kita menggunakan formula suku karbohidrat, suku protein dan separuh sayur.
"Oleh itu, tidak wajar membuat dakwaan Menu Rahmah boleh menyebabkan kanser atau autisme kerana ia merupakan hidangan yang biasa dimakan oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya, inisiatif Menu Rahmah merupakan satu permulaan yang baik daripada kerajaan tetapi masih ada ruang penambahbaikan dari segi hidangan yang disediakan.
"Contohnya, Menu Rahmah belum ada komponen buah-buahan seperti betik atau pisang. Sekiranya komponen ini ditambah dalam menu tersebut, ia akan memberi kesan kepada pengeluaran buah-buahan tempatan dari segi permintaan.
"Selain itu, Menu Rahmah juga disaran mempunyai saiz hidangan suku-suku separuh,” katanya.
Jelas Norhasmah, nilai RM5 Menu Rahmah itu boleh menjamin nutrisi mencukupi bagi tumbesaran rakyat yang menerima manfaat.
"Harga dan kos Menu Rahmah boleh dipelbagaikan mengikut jenis makanan. Contohnya, sumber protein seperti tempe dan tauhu dapat menjimatkan kos dan berkhasiat.
"Bihun sup juga boleh dijadikan sebagai Menu Rahmah kerana kosnya tidak terlalu mahal malah boleh dikategorikan sebagai satu hidangan sihat jika menggunakan bahan yang betul,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah yang berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam di lebih 15,000 restoran untuk golongan B40 bermula 31 Januari lalu.
Menu Rahmah merupakan usaha kerajaan dalam membantu golongan miskin tegar yang memerlukan makanan siap dimasak.
Dalam pada itu, Pegawai Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Mohd Hakim Zakaria berkata, nilai sebenar Menu Rahmah bergantung kepada peniaga dan jenis hidangan.
"Jika dilihat dari perspektif peniaga, mungkin hidangan ini tidak akan memberi keuntungan yang banyak dari segi kos bahan mentah. Bagi saya, harga RM5 itu logik jika peniaga menggunakan sumber protein murah seperti telur.
"Antara hidangan bernutrisi yang relevan dengan nilai tersebut adalah nasi, sayur dan telur. Bagaimanapun, ada pengusaha yang telah berjaya menghasilkan Menu Rahmah yang lengkap dengan ikan atau sayur seperti di (pasaraya) Mydin,” katanya.
Namun, Mohd Hakim menyuarakan kebimbangan dengan segelintir pengusaha yang menyalahgunakan Menu Rahmah untuk tawaran hidangan murah tetapi tidak berkhasiat.
"Yang menjadi kebimbangan adalah cara masakan dan komposisi menu yang dikhuatiri mempunyai kandungan lemak tinggi. Ada juga makanan hidangan segera yang menyajikan hidangan Menu Rahmah dengan harga RM5 tetapi nutrisi itu tidak dapat dicapai kerana pemakanan tidak sihat.
"Oleh itu, kita harus melihat kembali apa objektif Menu Rahmah tersebut. Adakah ia mengambil kira komposisi nutrisi atau harga semata-mata? Kalau tujuannya adalah untuk memperkenalkan hidangan yang mampu milik serta bernutrisi oleh semua golongan masyarakat, maka ia telah mencapai sasaran dikehendaki,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca