SHAH ALAM - Kebanyakan anak muda lebih memberi perhatian kepada kelangsungan hidup berbanding insurans.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Azreen Roslan berkata, mereka mengutamakan perkara lain, misalnya perbelanjaan harian, sewa rumah dan pinjaman bank setiap bulan menyebabkan insurans berada pada senarai terakhir keperluan mereka.
"Kos pun semakin meningkat dan kalau mengambil insurans mereka risau komitmen bulanan akan lebih tinggi.
"Lagipun kerajaan tidak mewajibkan perkara tersebut dan ia adalah pilihan,” katanya kepada Sinar Premium.
Azreen berkata, tidak dinafikan selepas pandemik Covid-19, orang ramai khususnya golongan muda sudah mula sedar manfaat memiliki perlindungan insurans diri.
Beliau sehubungan itu menyokong sekiranya terdapat satu insurans yang boleh disesuaikan dengan golongan belia.
TELITI CADANGAN SEBELUM BUAT KEPUTUSAN
Sementara itu, saranan golongan belia yang mahu kerajaan mewujudkan satu skim perlindungan insurans khas kepada mereka perlu dilihat secara lebih komprehensif dan menyeluruh.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kementerian akan meneliti terlebih dahulu cadangan tersebut sebelum sesuatu perubahan atau dasar berhubung perkara tersebut dibuat.
"Saya tidak mahu komen banyak sebelum meneliti cadangan ini,” katanya ringkas.
Kerajaan sebelum ini pernah melaksanakan Baucar Perlindungan Tenang (PTV) bernilai RM75 bertujuan memanjangkan perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah.
Di bawah program PTV, sebanyak 16 syarikat insurans dan pengendali takaful menawarkan sebanyak 22 pelan yang memberikan perlindungan terhadap risiko utama kehidupan seperti kematian, kemalangan, kebakaran, kerosakan harta benda dan lain-lain keadaan tidak diingini.
Bagaimanapun, difahamkan pelaksanaan PTV dihentikan pada 30 November lalu bagi memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan perlindungan insurans yang sesuai.
Klik di sini untuk terus membaca