SHAH ALAM - Gaji pekerja berkemahiran di Malaysia didakwa ketinggalan dua kali ganda berbanding negara-negara membangun yang lain meskipun memiliki sijil kemahiran yang setara.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan berkata, ketetapan gaji minimum sebanyak RM1,500 terlalu rendah buat pekerja berkemahiran yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
"Gaji pemegang SKM yang diterima bekerja di Singapura jauh berbeza dengan mereka yang bekerja di negara sendiri. Kebiasaannya, mereka menerima gaji dua kali ganda daripada jumlah ditawarkan di Malaysia.
"Apa yang mereka belajar di Malaysia sama dengan di luar negara seperti kemahiran membaiki kereta dan sebagainya. Biarpun mempunyai sijil kemahiran sama, gaji mereka tetap statik dengan permulaan RM1,500,” katanya kepada Sinar Premium.
Menurutnya, sekiranya kerajaan serius untuk bergerak ke arah negara berpendapatan tinggi, mereka perlu meletakkan tanda aras gaji yang berbeza kepada pekerja berkemahiran untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
"Isunya sekarang, mengapa industri tidak dapat membezakan gaji pekerja asing dengan pekerja tempatan? Ini kerana tidak ada ukuran kemahiran ditetapkan. Macam mana mahu ada kenaikan gaji sekiranya majikan tidak melihat ada kompetensi kepada pekerja tempatan?
"Sekiranya ada penetapan gaji berbeza, industri akan mempunyai satu rujukan standard dari segi sejauh mana kompetensi pemegang sijil Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Akhirnya, kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan,” jelasnya.
Mohammad Rizan turut berpandangan, kadar upah gaji pekerja di Malaysia boleh ditingkatkan dengan kebanyakan majikan mampu untuk membayar gaji pekerja lebih daripada RM1,500.
"Saya percaya majikan mampu untuk membayar gaji pekerja di Malaysia bermula RM1,700 seperti yang pernah dicadangkan. Ini kerana kos menguruskan pekerja asing jauh lebih besar daripada peruntukan industri untuk menggajikan pekerja tempatan.
"Isu sebenar di sini bukan soal gaji tetapi soal bekalan daripada institusi kepada industri tenaga pekerja berkemahiran itu kurang sehingga terpaksa bergantung kepada pekerja asing.
"Sekiranya bekalan daripada institusi itu mencukupi dan menepati keperluan industri, tidak akan ada kebergantungan yang amat tinggi kepada pekerja asing khususnya tenaga kerja separa kemahiran,” tegasnya.
Sekiranya ingin mengekalkan tenaga kerja dan bakat-bakat berkemahiran di negara ini, Mohammad Rizan berpandangan kerajaan perlu meletakkan satu standard khas gaji kepada kumpulan ini supaya dapat melahirkan lebih ramai golongan belia yang berminat dengan TVET.
"Bagi saya, mereka perlu diberikan gaji permulaan sekurang-kurangnya RM1,800 untuk SKM Tahap 2.
"Bagi Tahap 5 yang mempunyai Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) yang setara dengan ijazah dalam bidang akademik, mereka sekurang-kurangnya layak mendapat gaji RM3,500 hingga RM4,000,” tambah beliau.
Klik di sini untuk terus membaca